Ahad, 30 Oktober 2022 | 12:04pm

Boleh berkhidmat walaupun tanpa jawatan Ahli Parlimen

BANDAR TUN RAZAK: Penyandang kerusi Parlimen PKR yang digugurkan dalam senarai calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) masih boleh berkhidmat walaupun tanpa jawatan, kata Pengerusi Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Calon PKR bagi Parlimen Bandar Tun Razak itu mengulas mengenai beberapa nama besar termasuk Maria Chin Abdullah, bekas pengerusi kumpulan reformasi pilihan raya Bersih yang tidak tersenarai bagi mempertahankan Parlimen Petaling Jaya.

"Dalam mana-mana peranan kita boleh berkhidmat, wakil rakyat adalah salah satu wadah sahaja untuk kita berkhidmat.

"…. tapi kalau aktivis mana-mana boleh jadi aktivis. Tiada jawatan pun niat kita mesti nak jadi warganegara yang baik dan berikan bakti kepada negara," katanya dipetik oleh Free Malaysia Today.

"Terima kasih Maria Chin kerana telah berikan khidmatnya semasa jadi Ahli Parlimen dan sekarang kalau kita boleh tukar tempat lain dan orang lain berikan khidmat (di tempat itu)… kita masih boleh teruskan khidmat."

Sebelum ini, bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua memberi amaran bahawa langkah parti itu menggugurkan beberapa Ahli Parlimen menjelang PRU15 boleh menjejaskan PKR.

Beliau mendakwa ramai pihak yang kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan parti di beberapa kerusi.

Bagaimanapun, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata, tidak semua pemimpin yang mahu berjuang dalam parti perlu diangkat menjadi calon dalam PRU15.

Ditanya mengenai penerimaan penduduk sekitar Bandar Tun Razak terhadap beliau, Wan Azizah berkata sambutan amat menggalakkan dan beliau berharap ia dapat diterjemahkan di kertas undi.

Kerusi Bandar Tun Razak dimenangi Kamarudin Jaffar pada PRU14 ketika masih bersama PKR.

Bagaimanapun, beliau adalah antara 11 Ahli Parlimen PKR yang berpaling tadah kepada BERSATU pada Februari 2020, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.

Sebelum itu, Khalid Ibrahim dari PKR memenangi kerusi Bandar Tun Razak pada PRU12 dan PRU13.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas PRU12 pada 2008 tetapi dipecat PKR pada 2014 selepas enggan menyerahkan jawatan menteri besar kepada Wan Azizah.

Berita Harian X