Sabtu, 29 Oktober 2022 | 12:26pm

Lukisan potret naikkan nilai daun kering

RANTAU PANJANG: Siapa sangka, daripada hanya daun kering yang tiada nilai, berupaya diberi nilai tambah oleh seorang pemuda hingga mampu dijual pada harga ratusan ringgit sehelai, dengan mencurahkan bakat seninya secara mengukir potret pada daun berkenaan.

Hasil sentuhan seni tangan, Muhamad Azam Othman, 21, memukau sesiapa sahaja yang melihatnya kerana wajah yang diukir pada daun itu, seakan-akan lukisan pada kertas.

Dia yang diasah bakat melukis sejak dari bangku sekolah bukan sahaja boleh mengukir potret, tetapi juga panorama, animasi dan tulisan khat dengan kemas dan sempurna.

"Idea untuk mengukir lukisan pada daun timbul ketika saya berada di rumah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Akibat terlalu bosan, saya cuba mengaplikasikan bakat melukis pada daun getah dan tidak menyangka hasilnya menjadi.

"Hasil ukiran saya ini mendapat perhatian rakan-rakan yang mula membuat tempahan dan kemudian dimuat naik di media sosial sehingga saya sekarang mempunyai pelanggan dari seluruh negara termasuk Johor, Kedah dan Kuala Lumpur.

"Bagaimana pun, saya akui untuk menyiapkan sesuatu ukiran pada daun memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi kerana daun yang kering mudah rapuh atau terkoyak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tasek Bendang Guchil, di sini, semalam.

Muhamad Azam mengakui kemahirannya itu banyak dibantu idolanya iaitu guru yang mengajar Pendidikan Seni di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Gual Periok, yang dikenali sebagai 'Cikgu Mazdi'.

Menurutnya, dia menggunakan daun balik angin dan kemahang kerana lebih tahan lama selain mudah didapati di kawasan rumahnya.

"Untuk mendapatkan kemahiran ini, banyak kegagalan yang saya hadapi termasuk terpaksa menukar daun baharu berkali-kali kerana lukisan tidak menjadi atau daun terkoyak. Tetapi berkat tidak berputus asa, Alhamdulillah saya sudah dapat menguasainya.

"Saya mengambil masa selama sehari sehingga tiga hari untuk menyiapkan tempahan bergantung kepada subjek yang mahu diukir. Saya juga kena pastikan daun yang digunakan dalam keadaan separa kering supaya ukiran dapat dilakukan dengan baik.

"Selain itu, hasil tangan saya ini dijual serendah RM25 sehingga RM100 bergantung kepada saiz daun dan saya akan 'laminate' terlebih dahulu sebelum dihantar kepada pelanggan," katanya.

Dia yang juga anak ketujuh daripada sembilan adik beradik, berkata elemen paling sukar baginya untuk melukis potret adalah pada bahagian mata dan hidung yang akan menentukan kemenjadian lukisan pada daun berkenaan.

"Begitu juga dengan tulisan khat yang memerlukan dia mengukir 'baris' yang bersaiz kecil. Kemungkinan untuk daun koyak dan rosak sangat tinggi, jadi saya perlu berhati-hati.

"Saya hanya menggunakan beberapa barangan asas seperti papan pemotong dan pisau pengukir selain sentiasa mengenakan sarung tangan untuk memegang daun terbabit," katanya.

Di sebalik bakat besar yang ada pada Muhamad Azam, bagaimanapun terselit kekecewaan apabila dia tidak dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading walaupun sudah beberapa kali membuat permohonan selain mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Anak muda itu berharap agar impianya untuk meneruskan pengajian dalam bidang seni lukis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tercapai suatu hari nanti.

Azam menunjukkan lukisan potret pada daun kering yang dihasilkannya ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Tasek Bendang Guchil, Rantau Panjang.
Azam menunjukkan lukisan potret pada daun kering yang dihasilkannya ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Tasek Bendang Guchil, Rantau Panjang.
Berita Harian X