Jumaat, 28 Oktober 2022 | 12:18pm
Anggota APM Kota Setar melakukan pemantauan di sekitar kawasan rumah penduduk terjejas banjir. - Foto ihsan APM
Anggota APM Kota Setar melakukan pemantauan di sekitar kawasan rumah penduduk terjejas banjir. - Foto ihsan APM

Sungai Anak Bukit melepasi tahap bahaya, 18 rumah dinaiki air

ALOR SETAR: Paras air Sungai Anak Bukit di Taman Aman yang mencecah 2.80 meter kini melebihi paras bahaya menyebabkan 18 rumah di dua kampung di daerah ini terjejas akibat banjir.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail, berkata ia membabitkan Kampung Alor Gunong dan Kampung Alor Pear yang terletak berhampiran kawasan sungai.

Beliau berkata, setakat ini, tiga rumah di Kampung Alor Gunong membabitkan 14 penduduk sudah dimasuki air, manakala 15 rumah di Kampung Alor Pear yang membabitkan 60 penduduk turut ditimpa masalah sama.

"Bagaimanapun tiada penduduk dipindahkan ketika ini dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

"Namun anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar masih menjalankan pemantauan di sekitar dua kampung berkenaan untuk memastikan paras air terkini, selain keselamatan penduduk dalam keadaan baik.

"Pemantauan dilakukan bermula jam 9 pagi hingga 10.30 pagi tadi," katanya.

Anggota APM Kota Setar melakukan pemantauan di sekitar kawasan rumah penduduk terjejas banjir. - Foto ihsan APM
Anggota APM Kota Setar melakukan pemantauan di sekitar kawasan rumah penduduk terjejas banjir. - Foto ihsan APM

Anggota APM Kota Setar melakukan pemantauan di sekitar kawasan rumah penduduk terjejas banjir. - Foto ihsan APM
Anggota APM Kota Setar melakukan pemantauan di sekitar kawasan rumah penduduk terjejas banjir. - Foto ihsan APM

Norlizawati berkata, paras air di lokasi pemantauan menunjukkan peningkatan namun keadaan cuaca dalam keadaan baik dan anggotanya kini dalam keadaan bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras air di Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya iaitu 1.76 meter yang melepasi paras waspada 1.5 meter dan trend air menaik.

Selain itu, paras bacaan Sungai Padang Terap di Kepala Batas Kubang Pasu kini 3.55 meter dan melepasi tahap waspada 3.5 meter, manakala Sungai Pendang di Pendang sudah 2.38 meter melepasi paras waspada 2.2 meter.

Berita Harian X