Khamis, 27 Oktober 2022 | 1:56pm

Guan Eng mahu saman Tajuddin

GEORGETOWN: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung kenyataan penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak itu yang disifatkan sebagai menyentuh sentimen perkauman.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, Tajuddin dalam satu program wacana anjuran sebuah akhbar pada 18 Oktober lalu mendakwa pejabat tempatnya bertugas ketika di Kementerian Kewangan tidak ubah seperti tokong.

"Saya sudah mengarahkan peguam menghantar surat tuntutan guaman. Sekarang kita sibuk, saya rasa akan ambil masa dan kita akan hantar ke pejabatnya (Tajuddin) di Kuala Lumpur kerana kita tahu dalam tindakan saman malu, kita hanya boleh buat ke atas individu.

"Bila saya akan hantar, saya akan umumkan, tetapi ini terpulang kepada peguam saya," katanya pada sidang media di Wisma DAP Jalan Rangoon di sini, hari ini.

Guan Eng yang turut menunjukkan rakaman klip video itu kepada media, menyifatkan ia sebagai menyakitkan hati untuk ditonton.

Mengulas jenis tuntutan akan dikemukakan, Guan Eng berkata, ia terpulang kepada mahkamah dan pihak peguam untuk membuat keputusan.

"Terpulang kepada mahkamah, (sudah) tentu kalau boleh dapat pampasan dan saja permohonan maaf atau sebagainya. Kita akan serahkan kepada mahkamah dan peguam kerana (dakwaan) ini amat bahaya, tuduhan jahat sebegini pada pentas nasional," katanya.

Beliau berkata, situasi itu berbeza dengan kenyataan dikeluarkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan mengaitkan orang bukan Islam dengan perbuatan rasuah.

"Abdul Hadi cakap secara menyeluruh tanpa merujuk kepada individu, sebab itu kita buat laporan polis. Kami tak boleh saman sebab beliau tidak merujuk kepada individu," katanya.

Sementara itu, Guan Eng menyatakan penghargaan atas sumbangan dan khidmat penyandang kerusi Parlimen Damansara, Tony Pua; penyandang kerusi Batu Kawan, Kasthuri Patto; penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago dan penyandang kerusi Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Lim Guan Eng (kanan) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. - Foto NSTP
Lim Guan Eng (kanan) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. - Foto NSTP
Berita Harian X