Rabu, 19 Oktober 2022 | 10:44am
Bagi enam negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka memerlukan perbelanjaan tambahan mencecah RM300 juta untuk mengadakan pilihan raya negeri berasingan. - Foto hiasan
Bagi enam negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka memerlukan perbelanjaan tambahan mencecah RM300 juta untuk mengadakan pilihan raya negeri berasingan. - Foto hiasan

SPR perlu RM300 juta lagi untuk PRN 6 negeri

KUALA LUMPUR: Bagi enam negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka memerlukan perbelanjaan tambahan mencecah RM300 juta untuk mengadakan pilihan raya negeri berasingan.

Bajet tambahan itu diperlukan SPR bagi menganjurkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang tidak membubarkan DUN selaras pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata jumlah RM300 juta ia adalah jangkaan bajet minimum yang perlu diperuntukkan kerajaan bagi menampung kos petugas dan logistik serta keperluan bagi pengundian seperti penambahan saluran pengundi.

Peruntukan tambahan juga perlu diberikan kerajaan kepada pihak berkuasa yang bertugas ketika pilihan raya, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar. - Foto fail NSTP
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar. - Foto fail NSTP

"Pasti ada kerosakan dari segi logistik SPR ketika pelaksanaan PRU15 yang perlu digantikan untuk digunakan pula pada PRN nanti.

"Selain peruntukan tambahan, pilihan raya berasingan akan turut mengganggu institusi pendidikan berikutan sekolah akan dijadikan pusat mengundi.

"Jangkaan RM300 juta itu adalah kos paling minimum dengan mengambil kira beberapa keperluan yang mungkin boleh diguna semula berikutan jarak PRU15 dan PRN yang tidak begitu panjang," katanya kepada BH.

Kos PRU-15 cecah RM1b

BH sebelum ini melaporkan kos penganjuran bagi PRU15 dijangka mencecah lebih RM1 bilion berbanding PRU sebelum ini yang membabitkan hanya ratusan juta ringgit.

Jumlah itu dua kali ganda kos menganjurkan PRU14 iaitu sekitar RM500 juta, manakala perbelanjaan PRU13 adalah sekitar RM400 juta.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata pihaknya menganggarkan kos bagi pelaksanaan PRU15 adalah RM1.01 bilion.

Bagi PRU15 kali ini, tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan memutuskan tidak akan membubarkan DUN masing-masing.

Tindakan sama turut diambil PAS di tiga negeri dikuasainya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Bagi negeri yang dikuasai Barisan Nasional (BN), Perak semalam mengikut jejak dua lagi negeri iaitu Perlis dan Pahang membuat keputusan membubarkan DUN masing-masing.

Sementara DUN Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak pula tidak dibubarkan kerana baharu melalui PRN dan kini belum mencapai tempoh matang.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan tidak menganjurkan PRN di tiga negeri itu diambil bagi memastikan persiapan dibuat bagi menangani banjir.

PAS pula mengambil pendirian hanya akan membubarkan DUN tiga negeri di bawah pentadbirannya itu pada hujung penggal semasa.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas tindakan gabungan parti politik yang enggan membubarkan DUN kerana ia menyebabkan pembaziran untuk mengadakan PRN secara berasingan gara-gara khuatir kehilangan kuasa.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, selain implikasi kos, pelaksanaan PRN secara berasingan juga dikhuatiri menyebabkan peratusan keluar mengundi menurun dengan drastik.

Pengundi berkurangan

Katanya, pengundi kebiasaannya tidak akan menunaikan tanggungjawab itu dua kali dalam tempoh singkat kerana turut membabitkan perbelanjaan tambahan kepada mereka.

"Berdasarkan pengamatan saya, jika pilihan raya dibuat berasingan, peratusan keluar mengundi memang rendah kerana mereka akan bosan.

"Justeru, paling baik adalah buat serentak kerana saya tidak melihat jika PRU15 dijalankan pada November (tempoh terdekat) adanya masalah kerana SPR mempunyai persediaan dan undang-undang cukup rapi untuk berdepan pelbagai kemungkinan," katanya.

Pendapat sama dikongsi bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, bahawa selain memberi implikasi signifikan terhadap kos, pelaksanaan pilihan raya secara berasingan pada peringkat Parlimen dan DUN juga menyebabkan pembaziran tenaga dan masa.

Beliau berkata, peningkatan kos bukan saja membabitkan SPR, namun agensi lain yang turut terbabit dalam setiap pilihan raya, termasuk PDRM.

"Ia meletihkan petugas SPR dan pengundi, sekali gus menyebabkan peratusan keluar mengundi rendah kerana ia menambah belanja pengundi yang terpaksa pulang ke kampung sebanyak dua kali bagi melaksanakan tanggungjawab itu.

"Jadi sebaik-baiknya PRU15 dilaksanakan serentak kerana kos perbelanjaan SPR dan agensi lain akan meningkat," katanya.

Foto hiasan BERNAMA
Foto hiasan BERNAMA

Berita Harian X