Jumaat, 7 Oktober 2022 | 11:35pm
Kumpulan jemaah yang terkandas di Madinah tidak pernah dibawa ke Makkah. - Foto hiasan AFP
Kumpulan jemaah yang terkandas di Madinah tidak pernah dibawa ke Makkah. - Foto hiasan AFP

Agensi kerajaan bawa pulang 63 rakyat terkandas di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membantu membawa pulang 63 jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi, sejak Jun lalu.

Kumpulan jemaah itu terdiri daripada 28 individu dewasa dan 35 kanak-kanak yang dibawa kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah, bagi mengerjakan ibadah umrah, pada Mac lalu.

Perkembangan itu dimaklumkan Kementerian Luar dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kenyataan media, malam ini.

Kenyataan itu berkata, urusan membantu penghantaran pulang jemaah yang terkandas itu dibuat dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan.

Katanya, Kementerian Luar dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Keduataan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan menyelaraskan urusan berkenaan dalam masa terdekat.

"Semua jemaah ini dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah bagi mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu.

"Bagaimanapun, mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

"Ini susulan pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi, pada 20 Ogos lalu.

"Kementerian Luar sentiasa berusaha memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia yang berada di luar negara sentiasa terpelihara," katanya.

Berita Harian X