Jumaat, 7 Oktober 2022 | 5:07pm
Peniaga Mohd Rani Abdullah, 64, menonton siaran secara langsung pembentangan Bajet 2023 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen hari ini. - foto BERNAMA
Peniaga Mohd Rani Abdullah, 64, menonton siaran secara langsung pembentangan Bajet 2023 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen hari ini. - foto BERNAMA

INTIPATI BAJET 2023

KUALA LUMPUR: Berikut ialah intipati Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen hari ini.

Bajet 2023 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' yang membabitkan peruntukan RM372.3 bilion akan dipandu oleh agenda 3R - Responsif, Bertanggungjawab dan Reformis.

Ini adalah bajet kedua yang dibentangkan di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 September tahun lalu.

Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) ditambah baik, beri manfaat kepada 8.7 penerima dengan peruntukan RM7.8 bilion. Kategori baharu BKM diperkenal, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan tanggung lima anak atau lebih layak terima RM2,500.

Tawaran kredit e-dompet RM100 diberikan kepada kumpulan M40 berpendapatan tahunan bawah RM100,000 menerusi inisiatif e-Pemula M40.

Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan kepada 2 mata peratusan. Pelepasan cukai hingga RM3,000 bagi bayaran yusan taska dan tadika berdaftar dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2024.

Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan kepada 2 mata peratusan.

Banjaran pendapatan cukai antara RM250,000-RM400,000 akan digabung dengan banjaran RM400,000-RM600,000 dan dikenakan kadar cukai 25 peratus Suruhanjaya Sekuriti akan perkenal program latihan khas tingkat kemahiran wanita untuk tambah bilangan wanita yang layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Ibu daripada isi rumah penerima BKM yang melahirkan anak tahun depan diberi bantuan tunai sekali bayar RM500 menerusi inisiatif CahayaMata Keluarga Malaysia.

Majikan yang menggaji belia menganggur lebih tiga bulan berumur 18 hingga 30 tahun diberi insentif penggajian di bawah PERKESO.

Kemudahan pinjaman RM305 juta disediakan melalui SME Bank, TEKUN, Mara, BSN dan Agrobank khusus untuk anak muda berniaga.

Orang ramai melakukan transaksi pembayaran ketika membeli barangan keperluan harian sempena tinjauan Bajet 2023 di sebuah pasar raya di Setiawangsa, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Orang ramai melakukan transaksi pembayaran ketika membeli barangan keperluan harian sempena tinjauan Bajet 2023 di sebuah pasar raya di Setiawangsa, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Kerajaan tanggung bayaran dapatkan lesen teksi, bas, e-hailing, ujian lesen motosikal kelas B2 untuk bantu kumpulan B40 khususnya belia jana pendapatan.

Inisiatif Pakej Remaja Keluarga Malaysia dilanjutkan sehingga April 2023 untuk rapatkan jurang digital dalam kalangan belia.

Kerajaan tanggung 80 peratus nilai caruman PERKESO untuk kurangkan beban golongan yang bekerja sendiri. Had caruman sukarela KWSP dinaikkan kepada RM100,000 setahun.

Program i-Saraan dilanjutkan tahun depan, caruman padanan ditingkatkan daripada RM250,000 kepada RM300,000.

Jumlah had pegangan ASB dan ASB2 dinaikkan kepada RM300,000 daripada RM200,000.

Kerajaan peruntukan lebih RM55 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif bagi meminimumkan kos sara hidup.

Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas pada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di sebuah pasar raya di Sri Stulang, Johor Bahru baru-baru ini. - foto BERNAMA
Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas pada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di sebuah pasar raya di Sri Stulang, Johor Bahru baru-baru ini. - foto BERNAMA

Program Jualan Murah Keluarga Malaysia diteruskan di seluruh negara dengan peruntukan RM100 juta.

Insentif penggajian antara RM600 hingga RM750 sebulan selama tiga bulan akan dibayar kepada majikan yang mengambil OKU, Orang Asli, bekas banduan dan wanita menganggur bekerja.

PERKESO sedia bantuan mobiliti RM500 kepada individu dapat pekerjaan di luar negeri bermastautin, manakala RM1,000 untuk penghijrahan jarak jauh iaitu dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya.

Tempoh perkhidmatan MySTEP sektor awam dilanjutkan hingga 31 Disember 2023, gaji dinaikkan RM100.

Kadar Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan kepada RM150, diberi kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa.

Kerajaan cadang lanjut galakan cukai bagi pembangunan harta intelek hingga 31 Disember 2025.

Khazanah Nasional akan labur RM1 bilion di bawah Dana Impak pada 2023

MOF bakal lancar piawaian pelaburan, pastikan agenda kemampanan dipertimbang dalam proses pelaburan GLCEKUINAS sedia pelaburan Dana Asas berjumlah RM100 juta untuk syarikat Bumiputera dengan nilai pelaburan minimum RM10 juta untuk setiap pelaburan.

Kerajaan melalui MDEC akan pelopori usaha transformasi UTC sebagai hab digital.

Kerajaan cadang penubuhan 2 UTC baharu, selenggara UTC sedia ada dengan peruntukan RM20 juta RM10 juta disediakan kepada CREST untuk bangunkan aplikasi bagi industry automotif.

Dana pelaburan lebih RM1 bilion akan diwujudkan sebagai pendekatan strategik bagi tarik lebih banyak pelaburan nilai tambah tinggi.

Kerajaan komited capai tangga 10 teratas dunia sebagai negara berdaya saing menjelang 2025

RM20 juta disediakan secara geran padanan untuk pembangunan produk industri peranti perubatan

Kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di Semenanjung dinaikkan kepada RM3.50, manakala RM4 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa bulan ini.

RM2.3 bilion diperuntukkan untuk sedia ruang pembelajaran kondusif dan selamat buat murid sekolah, peningkatan ketara berbanding RM1.7 bilion tahun ini.

Elaun Sara Hidup tajaan JPA bagi pelajar dan pegawai dalam negara diseragam dan dinaikkan RM100 sebulan bagi semua peringkat pengajian.

Diskaun 15 hingga 20 peratus untuk bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional bermula 1 November ini hingga 30 April 2023.

Inisiatif pas bulanan My50 diteruskan untuk kurangkan kos perjalanan warga Lembah Klang, beri manfaat hampir 180,000 pengguna.

Insentif cukai pendapatan bagi pengeluar produk farmaseutikal tempatan dilanjutkan hingga akhir 2025.

Kerajaan sedia RM100 juta di bawah Dana Pelaburan Strategik Tempatan bagi sokong pembangunan syarikat tempatan berasaskan teknologi.

Kerajaan cadang status khas bagi Kompleks Petroleum Pengerang untuk insentif pelaburan industri kimia dan petrokimia.

MRT 2 Fasa 2 dijangka mula beroperasi pada Januari 2023

MRT3 Fasa 1 dijangka siap pada 2028 manakala Fasa 2 pada tahun 2030

Bajet 2023 menyediakan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM95 bilion iaitu yang terbesar disediakan.

Defisit fiskal 2023 diunjur berkurang kepada 5.5 peratus KDNK berbanding 5.8 peratus pada tahun 2022.

Paras defisit bagi 2023 hingga 2025 dijangka terus berkurang kepada purata 4.4 peratus berbanding KDNK.

Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif e-Invois dan Tax Identification Number (TIN) secara berperingkat mulai tahun 2023 bagi memastikan sumber hasil yang mampan.

PETRONAS bercadang sumbang RM2 bilion ke dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) pada tahun 2023.

Kerajaan cadang lanjutkan insentif cukai bagi syarikat berstatus BioNexus untuk permohonan yang diterima hingga hujung 2024.

Kerajaan cadang beri Elaun Modal Dipercepatkan dan mengecualikan cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal bagi memacu produktiviti, kecekapan melalui automasi.

Sebanyak RM250 juta disediakan untuk sokong pelaksanaan projek PPP berimpak tinggi.

Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2023-2032 akan dilancarkan bagi perkenal model PPP baharu.

KWSP akan teruskan pembangunan Kwasa Damansara, wujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan RM3 bilion hingga 2025.

GLC, GLIC, komited buat pelaburan hingga RM50 bilion bagi tahun 2023.

Yayasan di bawah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan menaja sekurang-kurangnya 10 anak Orang Asli menyambung pelajaran di luar negara.

Hampir RM1 bilion disediakan khusus untuk warga emas, peningkatan ketara RM580 juta pada 2020.

RM1.2 bilion disediakan khusus untuk OKU, Skim 1 OKU 1 Perniagaan diperkasa dengan mengecualikan bayaran fi pendaftaran dan pembaharuan lesen perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

RM10 juta disediakan bagi pemberian baucar perjalanan kepada OKU melalui perkhidmatan e-hailing.

Kerajaan sedia insentif bagi menubuhkan 50 taska OKU, Kementerian Kewangan rintis Pusat Panggilan Mesra OKU.

Bantuan kepada pesawah diperkenalkan semula, Bantuan Musim Tengkujuh dinaikkan RM200, Insentif Pengeluaran Lateks dan Skim Perlindungan Pertanian diperkenalkan.

Kerajaan sedia insentif hingga RM100 dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi menggalakkan Keluarga Malaysia melancong dalam negara.

RM420 juta disediakan untuk pembaikan hospital dan klinik daif serta penggantian peralatan usang.

Pelepasan cukai pendapatan hingga RM1,000 ke atas perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian bagi diri, pasangan dan anak.

Kerajaan bercadang mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas produk Terapi Gantian Nikotin.

Peruntukan penyakit jarang jumpa ditingkatkan kepada RM25 juta, pelaksanaan MySalam dan Baucar Perlindungan Tenang diteruskan kepada penerima BKM.

25 pos kawalan sempadan PGA, Imigresen, ESSCOM, APMM antaranya di Serikin, Sarawak dan Lahad Datu, Sabah akan dibina.

Projek Empangan Sabo dilaksanakan di 46 lokasi seluruh negara, manakala sistem ramalan cuaca dinaiktaraf bagi mengurangkan risiko banjir.

RM174 juta diperuntukkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tahun depan, tambahan RM400 juta jika berlaku banjir pada hujung tahun ini.

Pusat Respons Scam Kebangsaan mula beroperasi bulan ini untuk bendung jenayah scam.

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 kepada penjawat awam dinaikkan kepada RM600, dibayar pada Mac 2023.

RM50 juta disediakan untuk Dana Penerbitan Filem Kenegaraan, manakala RM102 juta untuk Dana Kandungan Digital bagi memacu industri kreatif tempatan dan galakkan penghasilan lebih banyak karya.

Sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah FINAS diberi potongan cukai, manakala duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran dikecualikan.

RM332 juta disediakan untuk mewujudkan program latihan dan fasiliti sukan yang terbaik.

RM16.5 bilion disediakan bagi sektor pengangkutan melalui projek infrastruktur utama terutama Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, ECRL, RTS Link dan Central Spine Road.

RM1.5 bilion disediakan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.

Bayaran sekali bayar RM500 diberikan kepada guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut.

RM2.55 bilion disediakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar dengan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak.

Sabah dan Sarawak masing-masing terima peruntukan pembangunan negara sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion.

Lima Wilayah Koridor utama negara terima peruntukan keseluruhan RM1.4 bilion, meningkat dua kali ganda berbanding RM690 juta tahun ini.

Kerajaan sediakan 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk dan liputan gentian optik kepada 9 juta premis di seluruh negara menjelang 2025 di bawah projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2.

RM700 juta akan disediakan bagi inisiatif JENDELA tahun hadapan bagi laksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 3,700 sekolah.

Digital Nasional Berhad (DNB) akan memperluas rangkaian 5G di seluruh negara merangkumi 70 peratus kawasan berpendudukan tinggi bagi tahun 2023.

RM5 juta disediakan bagi melaksanakan Program Diplomasi Bahasa dan Budaya ke arah pengantarabangsaan khazanah negara.

RM10 juta untuk memelihara pelbagai bahasa dan budaya lain khususnya di peringkat komuniti seperti Kadazan Dusun dan Siam.

– BERNAMA

Berita Harian X