Jumaat, 7 Oktober 2022 | 3:03pm

Pasangan suami isteri dituduh edar dadah

MELAK: Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, lebih lima kilogram (kg) bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Haziq Mohd Kalil, 24, dan Nadia Uzid, 23, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin kerana kes membabitkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa dengan niat bersama mengedar dadah jenis Kanabis anggaran berat 5,152 gram di tempat letak kereta di hadapan premis G13,G15 dan G16 Bayou Square, Jalan Wakaf Utama, Bukit Katil, dekat sini, pada jam 11.30 malam, 25 September lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa'ari manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 15 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia berat sebenar dadah.

Berita Harian X