Khamis, 6 Oktober 2022 | 7:25pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, bagi sesi pra-Kabinet di Istana Negara, petang tadi. - Foto FB Istana Negara

Bajet 2023 dibentang esok, PM tak minta bubar Parlimen

KUALA LUMPUR: Bajet 2023 akan dibentangkan petang esok oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, seperti dijadualkan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.

Ini kerana Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk membubarkan Dewan Rakyat ketika majlis menghadap di Istana Negara petang tadi.

Istana Negara dalam kenyataan di Facebook malam ini, memaklumkan Seri Paduka berkenan menerima menghadap Perdana Menteri untuk mesyuarat pra-Kabinet petang semalam.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

- Foto FB Istana Negara
- Foto FB Istana Negara

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara. - Foto FB Istana Negara

Perkembangan terbaharu itu, meredakan seketika desas desus dan spekulasi kononnya Dewan Rakyat akan dibubarkan petang ini atau pagi esok, sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadual jam 4 petang esok.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kepemimpinan UMNO yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, masih mahu mendesak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat selepas Bajet 2023 dibentang atau diluluskan kelak.

Terdahulu petang tadi, Ismail Sabri diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, selama kira-kira sejam. Kenderaan Toyota Alphard putih yang membawa Perdana Menteri memasuki Istana Negara pada jam 3.49 petang, sebelum keluar menerusi pintu utama pada jam 4.45 petang.

Kenderaan Toyota Alphard putih yang membawa Perdana Menteri dilihat keluar dari pintu utama Istana Negara kira-kira jam 4.45 petang tadi, selepas pertemuan hampir sejam dengan Yang di-Pertuan Agong. - NSTP/Aizuddin Saad

Ketika meninggalkan Istana Negara, Ismail Sabri hanya melambai tangan kepada hampir 100 pengamal media yang berkampung di hadapan pintu utama seawal jam 7.30 pagi. Namun, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung pertemuan itu.

Sejurus meninggalkan Istana Negara tadi, Ismail Sabri menghadiri pertemuan dengan 'Top 5' kepemimpinan UMNO di ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, namun sehingga awal malam ini, tidak diketahui hasil pertemuan yang berlangsung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelihatan keluar dari perkarangan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - NSTP/Aswadi Alias

Sesi Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong petang tadi, menarik perhatian ramai berikutan spekulasi beliau akan memohon pembubaran Parlimen daripada baginda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRU-15.

Sebelum ini, khabar angin Perdana Menteri dijangka memohon perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen tercetus susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu yang membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan tahun ini.

Berdasarkan keputusan itu, banyak pihak berpandangan Parlimen perlu dibubar awal atau pertengahan bulan ini kerana PRU-15 berisiko diadakan pada musim tengkujuh dan banjir jika ia dibubarkan lebih lewat dari tempoh itu.

Pada perkembangan sama, seramai 12 Menteri Kabinet daripada Perikatan Nasional (PN) tidak bersetuju terhadap cadangan menetapkan PRU-15 diadakan pada tahun ini, kerana prihatin kesulitan dihadapi rakyat berikutan banjir yang dikhuatiri berlaku ketika peralihan monsun ketika ini dan Monsun Timur Laut yang bermula bulan depan.

Untuk itu, mereka turut mengutuskan surat kepada Seri Paduka bagi menyampaikan pandangan tidak bersetuju PRU-15 diadakan pada tahun ini.

Keprihatinan Seri Paduka terhadap kebimbangan pelbagai pihak berhubung ancaman banjir dan bencana ketika musim Monsun Timur Laut tahun ini, terserlah apabila baginda melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dekat Ampang, pagi semalam.

Dalam lawatan itu, baginda meminta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bersama agensinya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi taklimat berhubung persiapan menghadapi banjir tahun ini.

Berita Harian X