Sabtu, 10 September 2022 | 4:00pm
Laporan dalam BH Online hari ini.
Laporan dalam BH Online hari ini.

Kes amang seksual selebriti: Suspek, mangsa berkenalan dalam program motivasi

SHAH ALAM: Selebriti lelaki yang ditahan polis untuk membantu siasatan kes melakukan amang seksual fizikal terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur, dipercayai berkenalan dengan mangsa dalam program motivasi di sekolah sekitar Selangor.

Setakat ini, polis menerima empat laporan pada 30 Ogos lalu berkaitan kes terbabit, iaitu dua dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan masing-masing satu laporan di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata laporan itu masing-masing dibuat empat individu berusia lingkungan 17 hingga 18 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual fizikal lelaki berkenaan.

"Siasatan awal polis mendapati suspek berkenalan dengan mangsa dalam program motivasi yang diadakan di sekolah di sekitar Selangor. Hasil perkenalan itu, suspek didakwa melakukan jenayah amang seksual fizikal terhadap semua mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan laporan polis yang dibuat, Arjunaidi berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan suspek pada jam 4 petang Khamis lalu.

Katanya, polis kemudian memperoleh kebenaran Mahkamah Majistret Klang untuk menahan lelaki berkenaan selama enam hari sehingga 14 September untuk siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual TerhadapKanak-Kanak 2017.

Beliau juga menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu bagi mengelak menjejaskan siasatan serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

"Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba mengelirukan masyarakat dengan menyebarkan berita atau isu tidak tepat," katanya.

Berita Harian X