Sabtu, 10 September 2022 | 1:51pm

Selebriti popular disiasat kes amang seksual, JAIS masih tunggu laporan lengkap

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih menunggu laporan lengkap berhubung seorang selebriti lelaki yang direman enam hari bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal yang didakwa dilakukannya terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata pihaknya maklum mengenai kes selebriti itu dan laporan lengkap berhubung kejadian membabitkan pelajar tahfiz berkenaan masih belum diperoleh daripada pihak sekolah tahfiz terbabit.

"JAIS maklum (mengenai kes berkenaan)... saya sedang menunggu laporan lengkap dari pihak sekolah tahfiz berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media melaporkan, selebriti berumur 40-an itu dibawa ke Mahkamah Klang untuk permohonan tahanan reman semalam.

Perbuatan selebriti terbabit terbongkar susulan dakwaan mangsa yang tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Di media sosial pula, isu berkenaan turut tular malah netizen dikatakan mula menyerang Instagram selebriti berkenaan dengan pelbagai pertanyaan.

Ada juga mendakwa suspek adalah seorang penceramah bebas, pengacara program televisyen dan pelakon.

Berita Harian X