Rabu, 7 September 2022 | 7:37pm
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Lee Chong Chern menunjukkan rampasan dadah jenis ganja, syabu dan heroin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS Jawi di sini - Foto NSTP/Danial Saad
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Lee Chong Chern menunjukkan rampasan dadah jenis ganja, syabu dan heroin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS Jawi di sini - Foto NSTP/Danial Saad

Polis tumpas kumpulan edar dadah, tahan 4 suspek

NIBONG TEBAL: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin dan ganja yang dianggotai empat individu termasuk dua bersaudara dalam serbuan di kawasan Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Utara pada Jumaat lalu.

Bertindak hasil risikan yang dijalankan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan menyerbu sebuah rumah di Taman Halaman Indah, Jawi, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata serbuan pertama membawa kepada tangkapan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 33 tahun yang mempunyai ikatan persaudaraan.

"Penahanan dibuat selepas polis menemui dua bungkusan dadah seberat 909 gram (g) bernilai RM10,000 dan tiga paket dadah syabu bernilai RM200 di rumah berkenaan.

"Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek itu membawa kepada serbuan lain di sebuah kondominium di Butterworth yang mana polis menahan seorang lelaki (pembekal dadah) berusia 51 tahun dan wanita berusia 29 tahun.

"Hasil pemeriksaan di kondominium terbabit menemui tujuh ketulan mampat dipercayai ganja seberat 6.91 kilogram (kg) bernilai RM17,500 dan syabu seberat 0.2gram bernilai RM20," katanya pada sidang media di IPD Seberang Perai Selatan, di sini, hari ini.

Jelasnya, selain dadah, polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM50,000 dan menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM77,720.

Dalam pada itu, Chong Chern berkata, siasatan mendapati empat suspek itu bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan memfokuskan pasaran tempatan.

"Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif dadah dan semakan turut mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah serta dadah.

"Mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X