Selasa, 6 September 2022 | 6:36pm
Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditemukan maut dipercayai lemas ketika mandi di kawasan perkelahan air Terjun Batu Berangkai - Foto NSTP/Ihsan IPD Kampar
Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditemukan maut dipercayai lemas ketika mandi di kawasan perkelahan air Terjun Batu Berangkai - Foto NSTP/Ihsan IPD Kampar

Pelajar mati lemas ketika berkelah bersama bekas guru

KAMPAR: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditemukan maut dipercayai lemas ketika mandi di kawasan perkelahan air Terjun Batu Berangkai di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan terdapat kejadian lemas di kawasan berkenaan pada jam 11.15 pagi.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama dengan bekas gurunya dan dua rakan lain pergi ke tempat kejadian untuk mandi dan berkelah.

"Mangsa yang menaiki kereta bekas gurunya bergerak kira-kira jam 10.30 pagi dan sampai di tempat kejadian pada 11.30 pagi," katanya.

Mohamad Nazri berkata, mangsa yang berasal dari Sungai Sumun Bagan Datuk Perak sebelumnya tidur di rumah bekas gurunya itu di Kampung Gajah.

Menurutnya, mangsa dikatakan orang pertama yang mandi dan berenang serta terus pergi ke tempat dalam manakala rakan serta gurunya sedang mengangkat barang.

"Kemudian mangsa tiba-tiba tenggelam di tengah air terjun dan hilang.

"Bekas gurunya memanggil tetapi tiada jawapan dan rakan yang lain cuba berenang mencari tetapi tidak berjaya untuk membawa mangsa keluar dari air yang dalam," katanya.

Beliau berkata, bekas guru mangsa terus meminta bantuan orang kampung dan menghubungi 999 memaklumkan kejadian.

"Mayat mangsa berjaya dibawa keluar oleh orang kampung yang membantu mencari serta mengeluarkan mangsa dari dalam air," katanya.

"Pihak bomba yang tiba kemudiannya memberi CPR untuk cuba menyelamatkan mangsa namun gagal," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Kematian Secara Mengejut (SDR).

"Hasil pemeriksaan pada badan mangsa tidak terdapat kesan berlaku jenayah kekerasan dan mangsa dipercayai mati akibat lemas.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian didapati lokasi adalah lokasi kawasan rehat dan rekreasi awam yang berisiko dan kerap berlaku kematian.

Berita Harian X