Selasa, 6 September 2022 | 1:22pm
Kolam takungan ladang durian Musang King di pucak Gunung Inas. - NSTP/Ihsan Penduduk
Kolam takungan ladang durian Musang King di pucak Gunung Inas. - NSTP/Ihsan Penduduk

Tiga kolam Gunung Inas ditutup

ALOR SETAR: Tiga kolam takungan air di ladang durian Musang King di Gunung Inas akan ditutup, dua bulan selepas insiden banjir besar melanda 42 kampung di Kupang yang meragut tiga nyawa di Kampung Iboi, pada 4 Julai lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarah mengeringkan ketiga-tiga kolam takungan air sebesar gelanggang futsal itu, secepat mungkin.

"JPS akan memutuskan kaedah untuk melaksanakan pengeringan kerana kita perlu melindungi kawasan kampung di kaki Gunung Inas," katanya kepada NST ketika ditemui di Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks PAS Kedah di sini, yang berakhir Ahad lalu.

Pada 17 Julai lalu, Tuan Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat satu daripada beberapa kolam takungan kecil di ladang durian Musang King itu pecah ketika hujan, dan mungkin mencetus bencana banjir puing yang membawa kayu-kayan serta lumpur ke kawasan perkampungan di Kupang dan Baling.

Dalam bencana itu, lebih 1,000 kediaman dan premis perniagaan mengalami kerosakan, dan sekurang-kurangnya 17 rumah dihanyutkan air, manakala tiga sekeluarga, termasuk seorang wanita mengandung, maut apabila kediaman mereka di Kampung Iboi dihanyutkan air.

Sebelum ini, penduduk Kampung Iboi dan beberapa kawasan lain dilaporkan menggesa kerajaan negeri menutup ladang durian itu dan mengering serta memusnahkan tiga kolam takungan berkenaan, yang didakwa menjadi punca pencemaran sumber air dan banjir kilat sejak ia mula beroperasi pada 2017.

Namun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengesahkan banjir itu bencana geologi dan bukan berpunca dari ladang durian berkenaan.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan berhubung kolam takungan itu, demi keselamatan penduduk kampung.

KOLAM takungan bagi menakung air untuk menyiram pokok durian di puncak Gunung Inas. - NSTP/Danial Saad
KOLAM takungan bagi menakung air untuk menyiram pokok durian di puncak Gunung Inas. - NSTP/Danial Saad

Menurut Tuan Ibrahim, pihak berkuasa sedang mengenal pasti kesan banjir besar itu terhadap Gunung Inas dan kawasan sekitarnya, dengan meneliti laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang diserahkan penguasaha ladang, dua minggu sebelum kejadian.

Katanya, penelitian itu akan mengambil kira impak puing, banjir dan tanah runtuh terhadap persekitaran Gunung Inas.

"Awalnya, syarikat pengusaha ladang menggunakan laporan EIA yang disediakan untuk projek ladang hutan pokok getah klon balak yang diluluskan di kawasan itu, untuk penanaman ladang Musang King," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu kemudian menyerahkan laporan EIA untuk ladang Musang King, dua minggu sebelum bencana berlaku walaupun sudah beroperasi sejak 2017.

Berita Harian X