Isnin, 26 September 2022 | 11:23pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

Ahli, pemimpin PAS perlu akur nasihat Mursyidul Am - Takiyuddin

KUALA LUMPUR: Seluruh pimpinan dan ahli PAS diminta akur serta memberikan wala' (kesetiaan) kepada arahan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, supaya semua pihak yang inginkan perpaduan dan kestabilan negara menghayati serta merealisasikan agenda penyatuan ummah.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata PAS sentiasa komited melaksanakan segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutama dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam.

"Sehubungan itu, PAS tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama, apatah lagi dalam perkara membabitkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara yang majoritinya umat Islam seperti Malaysia.

"Kenyataan seumpama itu lebih-lebih lagi dilihat tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama itu adalah rakan muafakat dalam kerajaan yang dipimpin bersama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Barisan Nasional (BN) adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Takiyuddin berkata, PAS sentiasa yakin bahawa perpaduan di antara parti utama Melayu-Islam dapat menjamin pembentukan sebuah pemerintahan yang stabil, adil dan berkebajikan kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya. – BERNAMA

Berita Harian X