Sabtu, 24 September 2022 | 4:55pm
Zahid disambut penyokong ketika keluar dari mahkamah selepas keputusan kes beliau dibebaskan terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam. - NSTP/ASWADI ALIAS
Zahid disambut penyokong ketika keluar dari mahkamah selepas keputusan kes beliau dibebaskan terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam. - NSTP/ASWADI ALIAS

'Tun M pernah minta bubar UMNO, sertai BERSATU' - Zahid

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan beliau pernah diminta oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melompat parti menyertai BERSATU serta membubarkan UMNO.

Beliau mendedahkan, disebabkan keengganannya berbuat demikian pendakwaan terpilih dikenakan ke atasnya ketika zaman kerajaan ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Dr Mahathir memintanya memaklumkan kepada ahli UMNO supaya menyertai BERSATU dan memintanya melupakan parti bertunjangkan tertua negara itu.

"Secara tegas saya menolak dan menyatakan kepada Dr Mahathir bahawa kubur saya akan banjir keesokannya, jika saya bubar dan keluar daripada UMNO untuk menyertai parti BERSATU.

"Penolakan itu kerana saya tidak akan sekali-kali mengkhianati parti UMNO semata-mata untuk kesenangan peribadi jawatan dan kedudukan.

"Sedangkan UMNO adalah teras harapan dan perjuangan orang Melayu khususnya dan menjadi tulang belakang rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyatakan, UMNO tidaklah 100 peratus sempurna, namun ia yang terbaik dalam kalangan parti berteraskan Melayu Islam dan mempunyai semangat Malaysia sebenar.

Katanya, walaupun ada segelintir dalam UMNO masih tidak akur dengan keputusan dan pendirian parti, sikap UMNO masih berhemah dan optimistik.

"Hakikatnya, saya tetap berjuang mempertahankan UMNO setelah diberikan kepercayaan oleh akar umbi UMNO seluruh pelosok negara untuk menjalankan tugas sebagai Presiden," katanya.

Tak goyang ancaman politik

Mengulas keputusan mahkamah, katanya, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah itu membebaskannya daripada 40 pertuduhan yang dihadapi.

"Selama ini saya dilabel dengan pelbagai persepsi negatif untuk memperlekeh, memperkecil, menolak UMNO keseluruhan dan juga cubaan untuk menolak saya selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN kerana mereka tahu, tanpa saya, UMNO lebih mudah diperkotak-katikkan sesuka hati mereka.

"Misalnya ada yang sengaja menggunakan label kluster mahkamah kepada saya, namun tidak pula menggunakan label itu kepada pemimpin pembangkang. Sikap 'double standard' (pilih kasih) ini mencerminkan wajah sebenar musuh politik.

"Pengalaman saya dikenakan oleh musuh politik menjadikan saya lebih matang, muhasabah diri, belajar mengenali musuh luaran dan musuh dalam selimut. Saya boleh maafkan, tapi saya tidak akan lupakan sebagai pengajaran asam garam politik," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sebagai Presiden parti beliau perlu tegas, tidak goyang dengan ancaman politik dan berpendirian teguh.

"Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Maka, saya tidak gentar mempertahankan parti UMNO walaupun berdepan pelbagai ugutan dan ancaman politik.

"Saya tetap istiqamah meskipun ketika itu ramai pemimpin UMNO sendiri menjauhi UMNO kerana percaya dakyah Dr Mahathir bahawa parti UMNO tidak ada masa depan.

"Saya sendiri tidak pernah masuk politik melalui tingkap, sebaliknya karier politik saya melalui tangga politik dari bawah. Justeru, saya amat memahami suara akar umbi UMNO pelbagai lapisan," katanya.

Parlimen bubar, mimpi ngeri pengkhianat UMNO semakin tiba

Mengimbau peristiwa selepas kekalahan BN pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14), katanya, ketika itu UMNO berada pada titik terendah dan terlemah akibat ramai wakil rakyat UMNO berpaling tadah dan melompat parti tanpa memikirkan nasib dan masa masa parti UMNO tewas akibat politik persepsi.

"Ketika UMNO tewas, diperkecil dan dijauhi oleh oportunis politik serta dijadikan mangsa politik pembangkang, saya mengingati ahli UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2018 bahawa UMNO akan bangkit dan akan berjaya menjadi kerajaan kembali.

"Namun ketika itu, ramai memandang sinis kenyataan itu dan kini perdana menteri daripada UMNO dan fasa seterusnya Insya Allah berkat doa dan perjuangan berterusan UMNO akan kembali dominan dalam membentuk kerajaan selepas PRU15," katanya.

Dalam masa sama, katanya beliau tidak gentar di sebalik cubaan pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat kesepaduan parti akibat takut dan tidak senang dengan pemulihan dan kebangkitan UMNO.

"Mereka tahu apabila Parlimen bubar, maka mimpi ngeri mereka semakin tiba, yang lompat parti dihukum oleh pengundi mereka sendiri sebelum ini. Ramai juga takut tewas dan ditolak rakyat kerana prestasi buruk mereka di kawasan," katanya.

Beliau menegaskan 'gelombang UMNO ialah keluarga kita' akan terus diperkasakan untuk memastikan setiap keluarga besar adalah ahli UMNO.

"Dengan ahli 3.4 juta kalau digandakan dengan lima ahli keluarga sekurang-kurangnya, kekuatan UMNO mengatasi kekuatan asas UMNO.

"Setiap lapisan Pusat Daerah Mengundi (PDM), cawangan dan bahagian perlu membina asas kekuatan ini. Atas prinsip ini jika ahli UMNO bersatu hati dan parti komponen BN bersifat realistik dan bergerak berdasarkan fakta dan data, BN akan kembali teguh dan ampuh.

"Begitu juga gelombang 'Keluarga kita BN' perlu digerakkan secara bersepadu untuk menggandakan kekuatan BN dan semua ini perlu dilakukan dengan tekad yang kuat dan semangat perjuangan yang luhur," katanya.

Berita Harian X