Jumaat, 23 September 2022 | 11:13am
Perak SADC memacu kelestarian sekuriti makanan.
Perak SADC memacu kelestarian sekuriti makanan.

Perak SADC sedia RM306 juta perkukuh sekuriti makanan 2023

IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) terus komited memacu kelestarian sekuriti makanan yang menjadi agenda utama Perak Sejahtera 2030, melalui penyediaan peruntukan berjumlah RM306 juta bagi tahun 2023.

Jumlah keseluruhan peruntukan berkenaan akan merangkumi dua segmen iaitu membabitkan projek pelaburan dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat Perak.

Fokus peruntukan itu antaranya membabitkan program sekuriti makanan dalam industri penternakan dan pembekalan lembu pedaging, ternakan ayam, penanaman durian, makanan haiwan ternakan serta pelaburan strategik Perak SADC dalam industri strategik sekuriti makanan Perak dan juga negara ini.

Menerusi program CSR, antara projek yang akan dilaksanakan, merangkumi program Smart SBB Padi, Program Keusahawanan Perak SADC, Akademi Sekuriti Makanan dan Community Farming.

Semua projek yang dilaksanakan antara Perak SADC bersama jabatan serta agensi kerajaan ini bertujuan memenuhi keperluan makanan penduduk Perak dan ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadi pembekal utama makanan negara.

Hasrat itu seiring dengan slogan yang sering diungkapkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; "Tanam (ternak, pelihara) apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam (ternak, pelihara), selebihnya kita jual."

Jumlah perbelanjaan dan pelaburan bagi tahun 2023 dijangka sebanyak RM2.037 bilion, termasuk cadangan pembelian ladang baharu.

Semua pelaburan ini, dijangka dapat meningkatkan pendapatan dan keuntungan Perak SADC untuk jangka masa panjang.

Berita Harian X