Rabu, 21 September 2022 | 4:01pm
Prof Datuk Dr Husaini Omar
Prof Datuk Dr Husaini Omar

Anugerah doktor kehormat diberi IPT, bukan NGO

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menegaskan gelaran doktor kehormat kepada mana-mana individu hanya boleh dianugerahkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) yang diiktiraf, bukannya oleh mana-mana badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar, berkata KPT mengambil maklum aduan mengenai satu akaun di Facebook berkait penganugerahan doktor kehormat kepada individu tertentu dengan mengguna pakai gelaran Doktor (Dr).

"KPT mendapati bahawa aduan ini adalah isu berulang danpemeriksaan lanjut sudah dilakukan.

"Hasil siasatan itu mendapati bahawa penganugerahan Honorory Doctorate Award diberikan berdasarkan sumbangan sosial individu bagi mengiktiraf jasa dan kecemerlangan dan bukan diberikan berdasarkan pencapaian akademik.

"KPT ingin tegaskan bahawa ia hanya boleh dianugerahkan oleh IPT yang diiktiraf dan bukannya oleh mana-mana NGO. Laporan

polis juga sudah dibuat berhubung perkara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan KPT itu susulan pendedahan Ketua Penerangan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Selangor, Dr R Siva Prakash, yang mendakwa NGO tertentu berselindung di sebalik perkhidmatan sosial serta kegiatan seni dan budaya di platform media sosial untuk menawarkan anugerah doktor kehormat dengan bayaran antara RM480 hingga RM8,000.

Husaini berkata, sehubungan itu orang awam diminta sentiasa peka dan berhati-hati terhadap penawaran Ijazah Doktor Kehormat oleh NGO atau persatuan tertentu yang diberi berdasarkan sumbangan ke atas pembangunan negara dan tanggungjawab sosial korporat dalam komuniti atau jalinan diplomatik di peringkat antarabangsa.

Katanya, mengikut Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), tafsiran 'Pengajian Tinggi' membawa maksud ajaran atau latihan mengenai atau pengajaran kursus pengajian yang membawa kepada penganugerahan sijil, diploma atau ijazah sesudah tamat mengikuti dengan jayanya kursus pengajian itu.

"Tafsiran Kerangka Kelayakan Malaysia (KKM) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menggariskan kelayakan akademik adalah sijil, diploma atau ijazah yang dianugerahkan oleh pihak berkuasa yang kompeten dan penganugerahannya mengesahkan seseorang telah berjaya melengkapkan pengajian pada standard yang tertentu iaitu bermula dengan sijil (tahap 1) hingga Ijazah Kedoktoran (tahap 8)," katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi di talian 03 8000 8000 sambungan (4826 / 4825) atau layari laman sesawang rasmi www.mohe.gov.my atau www.jpt.mohe.gov.my.

Berita Harian X