Isnin, 19 September 2022 | 3:21pm
Nilai kompaun sehingga RM5 juta yang bakal dikenakan oleh JAS terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran disifatkan setimpal dengan kesalahan dilakukan.- Foto hiasan
Nilai kompaun sehingga RM5 juta yang bakal dikenakan oleh JAS terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran disifatkan setimpal dengan kesalahan dilakukan.- Foto hiasan

Nilai kompaun bakal dipinda setimpal dengan kesalahan - JAS

SHAH ALAM: Nilai kompaun sehingga RM5 juta yang bakal dikenakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan pencemaran disifatkan wajar dan setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata pihaknya akan melaksanakan arahan kompaun berkenaan apabila pindaan berkenaan berkuatkuasa kelak.

"Kompaun sedia ada sebanyak RM2,000 gagal menjadikan industri atau syarikat gentar kerana mereka mampu membayarnya, sedangkan kos bagi memulihkan pencemaran yang berlaku jauh lebih tinggi daripada itu.

"JAS Selangor berharap nilai kompaun baharu ini akan dapat menghalang (deterrent) kepada pihak industri, syarikat atau mana-mana pihak membuang, melepaskan sisa buangan ke sumber air," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Aziah berkata, pihaknya sentiasa memantau tahap pematuhan punca-punca yang berpotensi menyebabkan pencemaran.

"Di Selangor, tiga lokasi tertinggi punca pencemaran yang berada di bawah kawalan oleh JAS membabitkan tiga daerah iaitu Petaling (5,950), Klang (4,611) dan Hulu Langat (2,913)

"Itu adalah punca pencemaran yang berpotensi termasuk pencemaran udara, air dan sisa berjadual.

"Jumlah berkenaan merujuk kepada bilangan kilang/industri, projek pembangunan dan loji kumbahan," katanya.

Mengulas lanjut katanya, beliau yakin akan ada garis panduan yang diwujudkan bagi menentukan nilai kompaun yang wajar mengikut jenis kesalahan dan tahap keseriusan pencemaran yang berlaku serta faktor pemberat yang lain.

Terdahulu, portal BH melaporkan nilai kompaun yang boleh dikenakan oleh JAS terhadap industri atau syarikat yang menyebabkan pencemaran dengan membuang atau melepaskan bahan buangan terlarang ke sumber air akan ditingkatkan 2,500 kali ganda iaitu daripada RM2,500 ketika ini kepada RM5 juta.

Pindaan itu juga akan menyaksikan nilai denda boleh dikenakan mahkamah bagi sabitan kesalahan sama ditingkatkan sehingga 20 kali ganda iaitu kepada RM10 juta berbanding RM500,000 ketika ini.

Berita Harian X