Ahad, 18 September 2022 | 10:25pm

Kertas siasatan amang seksual pendakwah ke TPR

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merujuk enam kertas siasatan kes amang seksual membabitkan pendakwah selebriti kepada Timbalan Pendakwa Raya, Rabu lalu.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata empat kertas siasatan dibuka di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.

"Semuanya mencadangkan suspek dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak (AKSTK).

"Selain itu, satu kertas siasatan di Kuala Lumpur masih dalam tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tujuh laporan polis dibuat terhadap pendakwah selebriti berkenaan setakat ini.

"Suspek dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Pada 10 September lalu, media melaporkan seorang penceramah bebas ditahan polis untuk membantu siasatan kes melakukan amang seksual fizikal terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur, dipercayai selepas berkenalan dengan mangsa melalui program motivasi di sekolah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Berita Harian X