Khamis, 15 September 2022 | 10:19pm

4 sahabat tokan dadah ditahan

SEGAMAT: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin, syabu dan ganja yang dianggotai empat sahabat berkonsepkan 'multi level marketing' (MLM) dalam serbuan di kawasan sekitar Segamat di sini, semalam.

Bertindak hasil maklumat risikan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menyerbu di sekitar kebun sawit FELDA Pemanis dan Jalan Tungku Tiga Segamat, di sini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata lokasi serbuan pertama dan kedua kira-kira jam 3 petang di sekitar Jalan Tungku Tiga membawa kepada penahanan dua lelaki masing-masing berusia 31 dan 46 tahun.

"Penahanan dibuat ke atas suspek 31 tahun selepas polis menemui heroin dalam plastik lut sinar seberat 36.5 gram (g) bernilai RM1,270 dan satu paket dadah heroin seberat 18.50 gram (g) bernilai RM640 terhadap lelaki berusia 46 tahun.

"Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek itu membawa kepada serbuan lain di sekitar FELDA Pemanis kira-kira jam 12.30 tengah malam yang mana polis menahan dua lelaki berusia 40 tahun dan 38 tahun.

"Hasil pemeriksaan pemeriksaan ke atas suspek berumur 38 tahun menemui heroin seberat 16.5 gram (g), syabu seberat 2.00 gram (g) dan peralatan kaca menghisap dadah anggaran kesemuanya bernilai RM770.

"Suspek berusia 40 tahun turut memiliki heroin seberat 52.50 gram (g), syabu seberat 6.30 gram (g), ketulan ganja mampat seberat 6.50 gram (g) dan pil Erimin 5 90 biji seberat 24.0 gram (g) kesemuanya bernilai RM4,135," katanya pada sidang media di IPD Segamat, hari ini.

Selain dadah, polis turut menyita motosikal Yamaha 135 LC dan Honda EX5 bernilai RM9,000, wang tunai RM500 dan menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM16,315.

Dalam pada itu, Ahmad Zamry berkata, siasatan mendapati empat suspek itu rakan karib bergiat aktif sebagai rantaian 'tokan' kecilan sejak beberapa bulan lalu dengan memfokuskan pasaran tempatan terutamanya termasuk lokasi FELDA.

"Suspek turut melakukan pendekatan pemasaran jualan langsung bersemuka MLM hanya kepada penagih yang dikenali wajah bagi mengelak dikesan polis yang menyamar namun 'kantoi' (tumpas).

"Semakan turut mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah serta dadah.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah (dua kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah di rampas hasil penahanan empat lelaki di sekitar FELDA Pemanis dan Jalan Tungku Tiga - Foto NSTP/Ahmad Ismail
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah (dua kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah di rampas hasil penahanan empat lelaki di sekitar FELDA Pemanis dan Jalan Tungku Tiga - Foto NSTP/Ahmad Ismail
Berita Harian X