Selasa, 30 Ogos 2022 | 2:49pm
Foto hiasan. - NSTP/ARKIB
Foto hiasan. - NSTP/ARKIB

KPLB kaji keperluan tambah Tabika KEMAS di bandar - Mahdzir

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengkaji keperluan memperbanyakkan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam bandar, kata Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, bagi memperbanyakkan Tabika KEMAS dalam bandar, ia memerlukan ramai kakitangan dan penambahan tenaga kerja perlu dimohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Datuk Seri Mahdzir Khalid. - NSTP/ARKIB
Datuk Seri Mahdzir Khalid. - NSTP/ARKIB

"Jumlah Tabika KEMAS dalam bandar adalah kecil dan keperluan untuk menambah itu ada permintaan tinggi, namun perkara itu perlu dikaji kerana memerlukan kakitangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KPLB bercadang membuka lebih banyak Tabika KEMAS di kawasan bandar ekoran yuran yang semakin meningkat dikenakan tadika swasta.

Mahdzir ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini hari ini.

Mengenai semakan semula kadar biasiswa pelajar di bawah KPLB, khususnya Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk semua pelajar di dalam dan luar negara, Mahdzir berkata, butirannya akan diumumkan Perdana Menteri pada satu majlis nanti.

Semalam, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, Jemaah Menteri bersetuju meluluskan semakan semula kadar biasiswa di bawah KPLB, khususnya MARA untuk semua pelajar di dalam dan luar negara. - BERNAMA

Berita Harian X