Sabtu, 27 Ogos 2022 | 11:40am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Saingan buruh asing, tiada sokongan punca wanita dalam pasaran buruh rendah

KUALA LUMPUR: Saingan daripada buruh asing yang banyak menguasai pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah menjadi antara faktor kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh di negara ini masih rendah.

Selain itu, ketiadaan sistem pekerjaan dan ketersediaan sokongan institusi yang holistik menyebabkan golongan wanita cenderung untuk berada di luar pasaran buruh.

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata kajian EU-ERA mendapati kadar penyertaan buruh wanita bagi yang berpendidikan tinggi hampir menyamai lelaki, namun bagi kategori wanita berpendidikan menengah dan rendah, kadar itu berada pada sekitar 46 hingga 55 peratus, jauh lebih rendah berbanding lelaki.

"Penguasaan buruh asing menyebabkan peluang pekerjaan untuk wanita yang mempunyai pendidikan menengah dan rendah menjadi terhad.

"Situasi bertambah meruncing jika kadar upah dan gaji rendah dibayar kepada pekerja asing lebih rendah," katanya kepada BH.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan mengakui aspek kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh di negara ini masih rendah.

Beliau berkata, negara berdepan cabaran utama apabila kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun lalu adalah 55.5 peratus saja, sedangkan populasi perempuan pada 2020 adalah 47.7 peratus iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia.

Mohd Yusof berkata, penyertaan tenaga kerja wanita yang rendah adalah isu struktural dalam ekonomi Malaysia yang memerlukan intervensi jangka masa panjang dan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), kerajaan menggariskan dasar serta strategi khusus bagi meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh kepada 57 peratus pada 2025.

Melalui kajian EU-ERA, intervensi dasar yang menyokong peningkatan gaji dan upah dapat meningkatkan penyertaan wanita ke dalam pasaran buruh, yang akan membantu meningkatkan pengeluaran.

Beliau berkata, dalam situasi kekurangan buruh dan kadar pengangguran yang masih tinggi ketika ini, tingkat gaji dan upah pekerja yang lebih tinggi cenderung menarik lebih ramai penyertaan tenaga buruh ke dalam pasaran.

"Hasil kajian kami menunjukkan, peningkatan gaji dan upah pekerja sebanyak satu peratus cenderung meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita sebanyak 1.2 peratus.

"Secara langsung, pendekatan dasar untuk meningkatkan gaji dan upah pekerja memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam RMKe-12," katanya.

Selain itu, usaha berterusan memperbaiki persekitaran pekerjaan dan sistem sokongan institusi akan memperkukuh usaha meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita.

"Sistem pekerjaan seperti jam masa dan hari bekerja yang fleksibel dapat menarik minat buruh wanita.

"Sistem sokongan seperti pusat penjagaan kanak-kanak di tempat bekerja atau berdekatan dengan tempat kerja amat baik bagi meningkatkan penyertaan tenaga buruh," katanya.

Pada masa sama, Mohd Yusof berkata, institusi atau badan bukan kerajaan (NGO) wanita perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mengadakan sesi libat urus dan perbincangan empat penjuru, membabitkan NGO, kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia, majikan dan pekerja wanita .

"NGO wanita perlu membantu kerajaan dalam mengenal pasti sektor ekonomi dan bidang pekerjaan yang perlu ditingkatkan penyertaan wanita.

"Mereka juga perlu mencadangkan kadar gaji dan upah yang bersesuaian kepada golongan wanita dan memberi cadangan yang berasaskan bukti dan kajian, tidak cukup dengan hanya memberi ceramah dan aktiviti yang tidak bersifat inklusif serta tidak menyokong usaha kerajaan meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita," katanya.

Sementara itu, Pengasas Humanity Workplace Centre (HWC), Bibi Sunita Sakandar Khan, mengakui tawaran gaji yang tidak menarik dan mahukan waktu kerja yang fleksibel menjadi antara faktor yang menyebabkan kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh masih rendah.

Katanya, pandemik COVID-19 yang melanda negara lebih dua tahun lalu menyebabkan ramai wanita keluar daripada pasaran buruh, sama ada berhenti kerja atau diberhentikan dan tidak kembali semula.

"Mereka mendapati tangga gaji yang diterima selepas COVID-19 lebih rendah berbanding sebelum pandemik itu. Golongan wanita yang mahu mencari pendapatan kemudian beralih kepada sumber pendapatan yang bukan berteraskan majikan, seperti perniagaan secara atas talian.

"Dengan cara ini, mereka bukan saja dapat menumpukan kepada perniagaan, malah memberi tumpuan kepada keluarga dan ini mungkin lebih menarik, berbanding sektor pekerjaan berteraskan majikan," katanya.

Bagi mencari penyelesaian berhubung isu itu, Bibi Sunita mencadangkan supaya majikan menyediakan inisiatif meningkatkan tahap pendidikan bagi pekerja wanita separa mahir dan berkemahiran rendah.

"Selain itu, sistem sokongan juga amat penting kerana ada wanita yang datang kepada kita berhenti kerja walaupun gaji yang ditawarkan RM2,500 dan sanggup membuka gerai makanan di tepi jalan dengan pendapatan tidak menentu kerana tiada sesiapa yang boleh menjaga anaknya," katanya.

Berita Harian X