Jumaat, 26 Ogos 2022 | 3:12pm

Pasangan muda terpaksa pilih bawah jejambat selepas hilang kerja

BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri terpaksa menjadikan kawasan bawah jejambat di Jalan Bagan Dalam, di sini, sebagai tempat berteduh kerana tidak lagi mampu menyewa rumah berikutan kehilangan pekerjaan sejak beberapa bulan lalu.

Malah, pasangan muda dikenali sebagai Siti dan Mohd masing-masing berusia lingkungan 20-an itu tidak mahu menyusahkan keluarga mereka yang turut terhimpit dengan masalah kewangan.

Siti berkata, dia dan suami kehilangan kerja selepas pandemik COVID-19 melanda hingga memaksa mereka keluar dari rumah yang didiami di Jalan Bagan Luar, kerana tidak mampu membayar sewa.

"Sejak dari itu kehidupan kami seperti inilah (gelandangan) dan menjadikan kawasan bawah jejambat sebagai tempat untuk tidur dan berehat.

"Kami bukan dari keluarga yang senang dan kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa, kami memilih hidup seperti ini. Tambahan pula ramai yang prihatin kerap turun menghulurkan sumbangan makanan dan itu sudah cukup bagi kami untuk mengisi perut yang lapar," katanya.

Petugas Sky Residence memberi makanan dan minuman kepada golongan gelandangan di Jeti Butterworth, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Mikail Ong
Petugas Sky Residence memberi makanan dan minuman kepada golongan gelandangan di Jeti Butterworth, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Mikail Ong

Terdahulu, pasangan suami isteri itu antara 300 penerima bantuan makanan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'The Ascott Merdeka'.

Siti berkata, dia dan suaminya bersyukur dengan keprihatinan masyarakat terhadap golongan gelandangan yang tidak bernasib baik.

"Ramai yang senasib seperti kami sejak COVID-19 menular dan keadaan ekonomi yang kurang baik menyukarkan untuk mendapat pekerjaan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Residensi Sky Residence by The Ascott, Lee Boon Kae, berkata pihaknya menyedari pandemik COVID-19 yang menular sejak lebih dua tahun lalu menyebabkan ramai golongan terjejas daripada segi pendapatan.

"Dalam usaha meringankan beban mereka yang terjejas, pihak syarikat memperuntukkan RM1,000 setiap bulan untuk membantu golongan kurang bernasib baik ini," katanya.

Petugas Sky Residence memberi makanan dan minuman kepada golongan gelandangan di Jeti Butterworth, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Mikail Ong
Petugas Sky Residence memberi makanan dan minuman kepada golongan gelandangan di Jeti Butterworth, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X