Isnin, 22 Ogos 2022 | 6:44pm

Lebih 1,000 warga asing tanpa negara di Kelantan dapat kad kerja

PASIR PUTEH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan lebih 1,000 kad bekerja kepada warga asing tanpa kewarganegaraan di Kelantan, dengan sebahagian besarnya sudah lama menetap di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh, berkata diberi kepada mereka yang bekerja dalam sektor laut.

Katanya, kebanyakan mereka adalah warga Vietnam, Kemboja, Myanmar, Indonesia dan Thailand yang lama menetap di negara ini.

"Mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, maka kad bekerja ini secara rasmi membolehkan golongan ini bekerja secara sah dan dalam peraturan.

"Bila ada kad bekerja, kita boleh pantau aktiviti mereka dan elak jenayah, manakala syarikat perikanan juga lebih bertanggungjawab.

"Terima kasih kepada KDN kerana membantu proses ini," katanya ketika ditemui dalam Program Pemantapan MyKomuniti Perikanan (MyKP), myAgroprenuer Perikanan (myAP) dan Perasmian Anjung Perikanan Tok Ajam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi,Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah Perikanan Negeri, Nazri Ishak.

Nik Zawawi berkata, langkah itu adalah antara yang diambil kementerian bagi memastikan bank makanan negara termasuk dalam sektor perikanan dan pertanian dapat dibekalkan sepanjang masa.

Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Jabatan Perikanan negeri turut menggalakkan perikanan air tawar.

Tahun lalu, katanya, sejumlah 1.1 juta benih ikan pelbagai spesies dilepaskan di sepanjang perairan Kelantan.

"Hari ini kita lepaskan 20,000 ekor benih ikan bernilai tinggi seperti baung dan lampam jawa, dengan harapan nelayan darat dapat menjana pendapatan.

"MAFI turut menempatkan tukun tiruan dan memberi geran padanan bagi meningkatkan hasil tangkapan," katanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh (hujung, kiri) mengagihkan patin percuma kepada orang ramai di Pasir Puteh. - NSTP/NOR AMALINA ALIAS
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh (hujung, kiri) mengagihkan patin percuma kepada orang ramai di Pasir Puteh. - NSTP/NOR AMALINA ALIAS
Berita Harian X