Isnin, 22 Ogos 2022 | 4:59pm

Tak boleh 'senang-senang' musnah kolam di Gunung Inas

ALOR SETAR: Tindakan meroboh dan memusnahkan tiga kolam takungan air seluas gelanggang futsal di puncak Gunung Inas di Baling, dekat sini, tidak perlu kerana ia tidak mampu mendatangkan bahaya kepada penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata berdasarkan laporan dikeluarkan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling, kolam terbabit bukan menjadi punca masalah banjir lumpur dan aliran puing pada 4 Julai lalu.

Malah, katanya, kajian dibuat pakar yang dikumpulkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) juga mendapati kapasiti air tiga kolam berkenaan sekiranya pecah, juga tidak mampu sampai ke kawasan penempatan di kaki Gunung Inas.

"Kolam itu ada pemilik, tak boleh senang-senang dimusnahkan. Kena baca laporan yang dibuat KetSA yang ada ratusan pakar di dalam jawatankuasanya.

"Kolam itu bukan menjadi punca kejadian banjir dan kata pakar geologis, jika tiga kolam itu pecah serentak tanpa hujan, air kolam itu juga tak akan sampai ke bawah kerana tak cukup kapasiti," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Perasmian Mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan Mamografi Digital di Pusat Perubatan Kedah (KMC).

Kolam takungan dibina bagi menakung air untuk menyiram pokok durian di puncak Gunung Inas. - NSTP/Danial Saad
Kolam takungan dibina bagi menakung air untuk menyiram pokok durian di puncak Gunung Inas. - NSTP/Danial Saad

Semalam, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memaklumkan, tiga kolam takungan air di puncak Gunung Inas yang dikaitkan dengan kejadian bencana banjir lumpur dan aliran puing akan dimusnahkan kerana didapati membahayakan penduduk sekitar.

Beliau berkata, perkara itu sudah dirujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang berjanji akan menyelesaikan masalah dihadapi penduduk yang masih ketakutan kerana bimbang kejadian terbabit akan berulang.

Tiga kolam berkenaan sebelum ini, dibina syarikat swasta yang terbabit mengusahakan ladang durian Musang King dan ia digunakan sebagai tempat takungan air diguna bagi menyiram pokok durian di puncak Gunung Inas.

Bagaimanapun berdasarkan tinjauan, tiga kolam berkenaan didapati dibina tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan dan hanya menggunakan kanvas sebagai pelapik menyebabkan penduduk bimbang sekiranya takungan itu pecah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Abdul Azeez sepatutnya tidak terpengaruh dengan pelbagai dakwaan dikeluarkan ramai pihak berkaitan kejadian di Gunung Inas, termasuk mendakwa kolam terbabit sebagai punca utama.

"Azeez Rahim jangan terperangkap dengan sentimen yang dimainkan orang tidak berilmu dan yang tidak membaca laporan penuh berkaitan kejadian yang dikeluarkan KetSA.

"Sebagai pemimpin, beliau sepatutnya merujuk laporan itu dan melihat pandangan pakar sebelum membuat sebarang kenyataan," katanya.

Dalam kejadian 4 Julai lalu, tiga penduduk Kampung Iboi terkorban dan lebih 1,000 rumah sekitar Kupang terjejas akibat banjir lumpur dan aliran puing yang turut meranapkan 18 rumah.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X