Sabtu, 20 Ogos 2022 | 11:14pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menghadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 Lembaga Jurutera Malaysia di ibu negara, malam ini. Turut hadir, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menghadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 Lembaga Jurutera Malaysia di ibu negara, malam ini. Turut hadir, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto BERNAMA

Skim gaji, imbuhan jurutera sektor awam akan dikaji

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan persetujuan kerajaan mengkaji skim gaji dan imbuhan jurutera dalam perkhidmatan awam.

Tegas Perdana Menteri, kerajaan turut memandang serius isu gaji permulaan jurutera yang rendah kerana boleh menjejaskan golongan muda menceburi profesion berkenaan

"Perkara ini boleh menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara kerana nisbah seorang jurutera berbanding penduduk di Malaysia adalah jauh lebih rendah dibanding dengan Jepun dan Jerman.

"Saya setuju gaji dan imbuhan dalam skim Kejuruteraan Perkhidmatan Awam perlu dikaji semula dengan mengambil kira

faktor seperti kepakaran kejuruteraan, kos sara hidup dan sebagainya," katanya pada Majlis Makan Malam Jubli Emas Lembaga Jurutera Malaysia di sini, malam ini.

Yang turut hadir Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalannya, Datuk Arthur Joseph Kurup; dan Yang Dipertua Lembaga Jurutera Malaysia, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Ismail Sabri turut menyarankan lebih ramai jurutera mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar dalam perkhidmatan awam.

Untuk itu, katanya, usaha lebih agresif dan serius perlu dilakukan.

Perdana Menteri berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh melantik kalangan jurutera mengisi jawatan pengurusan atasan syarikat seperti ahli lembaga pengarah dan ketua eksekutif (CEO).

"Harvard Business Review pernah melaporkan, 34 daripada 100 CEO berprestasi tinggi mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan.

"Ini termasuk syarikat gergasi dan terkemuka seperti Microsoft, General Motor dan Amazon," katanya.

Dalam usaha memartabatkan profesion itu, beliau mahu jurutera Malaysia lebih agresif berinovasi dan menghasilkan produk serta teknologi yang mempunyai nilai pasaran tinggi.

"Kerajaan sentiasa menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya Malaysia bukan lagi sekadar menjadi pengguna teknologi tetapi pencipta dan pengeluar teknologi. Inilah yang kita harapkan," katanya.

Perdana Menteri berkata, profesion jurutera memberi sumbangan signifikan terhadap negara yang kini menikmati kemajuan besar, bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi juga teknologi kejuruteraan.

Tegasnya, kepakaran jurutera tempatan membolehkan sektor infrastruktur, pembuatan, telekomunikasi, petroleum dan jana kuasa dibangunkan sehingga dapat menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

"Ini bukan sahaja membantu memacu ekonomi negara tetapi juga meningkatkan kualiti hidup Keluarga Malaysia agar setanding negara lain, dengan LJM bertindak sebagai pengawal selia profesion berkenan," katanya

Beliau berkata, bidang kejuruteraan menuntut prinsip kecekapan, penelitian dan kebolehan menyelesaikan masalah yang kompleks, sekali gus menjadi asas utama kepada kejayaan pemimpinnya.

Berita Harian X