Jumaat, 19 Ogos 2022 | 12:38pm
Idris menyerahkan cenderamata kepada Nor Azizulkifli yang akan berpindah ke jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor. NSTP/ Juwan Riduan
Idris menyerahkan cenderamata kepada Nor Azizulkifli yang akan berpindah ke jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor. NSTP/ Juwan Riduan

30 kekosongan jawatan pegawai tinggi IPK Sabah

KOTA KINABALU: Sebanyak 30 perjawatan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, perlu diisi susulan kenaikan pangkat, perpindahan dan persaraan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, berkata pihaknya berharap semua kekosongan yang ada itu diisi secepat mungkin bagi memastikan hal keselamatan di negeri ini terus terjamin.

"Kita tidak mahu kekurangan dalam keanggotaan ini akan menjejaskan perkhidmatan polis di lapangan kelak.

"Berdasarkan semakan perjawatan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, kekosongan membabitkan jawatan dua Deputi Superintendan, 12 Asisten Superintendan dan 16 inspektor," katanya berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Meraikan Pertukaran Pegawai Kanan Polis di IPK Sabah, hari ini.

Pada majlis berkenaan, dua pegawai kanan IPK Sabah iaitu Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor akan berpindah ke jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor.

Selain itu, Pegawai Pentadbiran, Jabatan Pengurusan IPK Sabah, Deputi Superintendan Rohana Anak Nanu dilantik Ketua Polis Daerah Belaga, Sarawak.

Majlis hari ini turut menyaksikan acara pemakaian pangkat kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman yang memangku pangkat Asisten Komisioner, manakala Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh pula memangku pangkat Superintendan.

Selain itu, 25 pegawai berpangkat Asisten Superintendan turut dinaikkan ke pangkat Deputi Superintendan mengikut kaedah saringan berteraskan kompetensi tahun 2022.

Idris berkata, kekosongan jawatan bagi Pasukan Polis Marin (PPM) di negeri ini turut berada dalam keadaan genting.

Katanya, ia kerana pasukan berkenaan adalah barisan hadapan yang terbabit secara langsung operasi khas di perairan Sabah.

"Dengan 70 kekosongan keseluruhan membabitkan sembilan pegawai dan 61 anggota, ia perlu diisi segera bagi memperkukuhkan lagi kekuatan pasukan," katanya.

Berita Harian X