Rabu, 17 Ogos 2022 | 5:14pm
Model kapal LCS yang dipamerkan ketika lawatan media ke tapak pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Model kapal LCS yang dipamerkan ketika lawatan media ke tapak pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

MINDEF lemah dalam uruskan kontrak LCS, tidak lindungi kepentingan kerajaan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mendapati, tadbir urus Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam menguruskan kontrak pembekalan kapal tempur pesisir (LCS) adalah lemah dengan sebahagian klausa kontrak tidak mengambil kira kepentingan kerajaan.

JKSTUPKK menerusi laporan siasatan yang dinyahklasifikasikan hari ini, mendedahkan tadbir urus itu juga tidak mengambil kira peraturan dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.

"Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) juga didapati mempunyai kelemahan dari aspek pengurusan dan kekangan kewangan yang amat kritikal.

"Kelemahan klausa kontrak dan syarikat BNS itu turut menjurus kepada kelewatan pelaksanaan pembinaan enam buah kapal LCS itu," menurut laporan itu.

Laporan itu berkata, kelewatan kerajaan dan syarikat memuktamadkan beberapa komponen menjejaskan prestasi pelaksanaan projek secara keseluruhan dan akan menyumbang kepada peningkatan kos dan kelewatan penyerahan LCS itu.

"Pembabitan anggota pentadbiran di peringkat awal sebelum kontrak ditandatangani juga menyebabkan reka bentuk dan komponen atau peralatan yang diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai 'end user' diketepikan," menurut laporan itu.

Berita Harian X