Rabu, 17 Ogos 2022 | 2:03pm
Rosol (tengah) menyertai Tealive's Concept Store dan Kempen Kopi Merdeka di Pavilion KL. - Foto NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL
Rosol (tengah) menyertai Tealive's Concept Store dan Kempen Kopi Merdeka di Pavilion KL. - Foto NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL

Kabinet putuskan eksport ayam hari ini

KUALA LUMPUR: Kabinet akan memuktamadkan keputusan hari ini, sama ada untuk membenarkan semula penternak mengeksport ayam atau sebaliknya, selepas pembekuan eksport produk itu berkuatkasa 1 Jun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, berkata semalam kementeriannya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengenai langkah ini.

"Ini berikutan, terdapat laporan lambakan ayam di pasaran serta permintaan tinggi daripada penternak untuk mengeksport ayam ke Singapura.

"Jadi hari ini kita tunggu keputusan daripada Kabinet," katanya ketika ditemui pada kempen 'Kopi Merdeka' oleh Tealive, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan, bermula 1 Jun ini, sehingga harga dan pengeluaran ayam untuk kegunaan domestik kembali stabil.

Keputusan itu antara beberapa langkah jangka pendek yang dicapai mesyuarat Kabinet terhadap isu bekalan dan harga ayam.

Pada masa sama, Rosol turut mengakui bahawa kementerian turut berdepan masalah harga makanan masih kekal tinggi walaupun harga bekalan ayam sudah stabil.

"Tiada alasan sebenarnya untuk peniaga makanan kekalkan harga dan sekiranya masih berdegil, kementerian akan cari jalan bagaimana mengatasinya.

"Jika ada aduan, kita akan lakukan siasatan dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011," katanya.

Berita Harian X