Selasa, 16 Ogos 2022 | 5:25pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Anak selamatkan wang dalam akaun bapa RM30,000

MELAKA: Tindakan pantas seorang guru meminta akaun bank bapanya disekat menyelamatkan warga emas itu daripada menjadi mangsa penipuan berjumlah RM30,000.

Tiga lelaki terbabit dikatakan mengunjungi rumah pesara guru berusia 82 tahun pada Jumaat lalu dan membawa cerita kononnya mewakili syarikat telekomunikasi yang berminat memasang menara telekomunikasi di atas tanah warga emas itu di Kampung Paya Dalam.

Anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Syafik, 30, berkata, dia dihubungi ibunya pada jam 10.39 pagi semalam memaklumkan bapanya dibawa keluar rumah oleh seorang lelaki tidak kenali.

Mengesyaki perkara tidak kena, Syafiq cuba mencari ayahnya di beberapa cawangan bank berkenaan tetapi gagal lalu menghubungi pegawai bank meminta supaya dua akaun bapanya disekat kerana dipercayai ada orang cuba membawanya untuk membuat urusan.

"Ketika datang ke rumah ayah, lelaki itu mengatakan syarikatnya berminat dengan tanah ayah seluas kira-kira tiga ekar (1.2 hektar) di belakang rumah bagi projek itu.

"Dia juga beritahu mahu letak peralatan untuk penyelenggaraan membina menara berkenaan di atas tanah ayah serta memberikan nombor telefon bimbitnya.

"Lelaki itu datang semula pagi semalam dan berjumpa ibu saya serta menyatakan kononnya saya memberinya kebenaran untuk bawa ayah keluar bagi urusan bank dan sewaan tanah sedangkan saya langsung tidak dapat menghubunginya," katanya dihubungi.

"Kira-kira jam 1 tengah hari semalam ayah balik ke rumah dengan teksi selepas ditinggalkan tiga lelaki yang membawanya ke bank untuk keluarkan RM30,000 tetapi transaksi itu gagal kerana akaun disekat.

"Ayah macam kebingungan dan tidak ingat dibawa ke cawangan bank mana. Dia juga diarah oleh tiga lelaki terbabit memberitahu pegawai bank tujuan pengeluaran wang adalah untuk ubah suai rumah.

"Saya difahamkan buku akaun bank dan Tabung Haji turut diambil dipercayai untuk salinan sebelum dikembalikan kepada ayah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, ketika dihubungi mengesahkan menerima dua laporan dibuat anak mangsa berkaitan kes itu di Balai Polis Tiang Dua dan di Balai Polis Bandar Hilir.

"Anak mangsa menyatakan bapanya pulang ke rumah pada jam 1 tengah hari semalam selepas ditinggalkan oleh tiga lelaki yang membawanya ke sebuah cawangan bank untuk mengeluarkan wang RM30,000, namun gagal.

"Di sini, saya menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan bermacam taktik penipuan kini," katanya.

Berita Harian X