Selasa, 16 Ogos 2022 | 12:28am
Peguam yang mewakili Najib, Hisyam Teh Poh Teik selepas sidang media rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Mahkamah dijangka buat keputusan hari ini

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pagi ini dijangka membuat keputusan sama ada membenarkan atau menolak permohonan notis usul Datuk Seri Najib Razak, bagi memasukkan bukti baharu menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Permohonan Najib melalui permohonan notis usul itu dibuat dengan alasan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes SRC di Mahkamah Tinggi dan mendapati beliau bersalah di atas tujuh pertuduhan, sengaja gagal mendedahkan peranannya dalam Maybank Investment melalui Bina Fikir Sdn Bhd berkaitan penubuhan SRC, menyebabkan berlakunya konflik kepentingan dan berat sebelah.

Jika permohonan notis usul itu dibenarkan, kemungkinan mahkamah akan membenarkan Najib untuk memohon mengisytiharkan keseluruhan perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi terbatal dan tidak sah serta menimbangkan untuk diadakan perbicaraan semula, seperti dimohon bekas Perdana Menteri itu.

Najib turut memohon dalam notis usul berkenaan supaya rayuan akhirnya didengar hanya selepas siasatan dijalankan ke atas Mohd Nazlan.

Jika permohonan notis usul itu ditolak, mungkin panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan terus mendengar rayuan utama membabitkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

Panel hakim (dari kiri) Tun Tengku Maimun Tuan Mat (Ketua Hakim Negara), Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (Hakim Besar Sabah dan Sarawak), Datuk Nallini Pathmanathan (Hakim Mahkamah Persekutuan). Bawah kiri: Datuk Mary Lim Thiam Suan (Hakim Mahkamah Persekutuan) dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah (Hakim Mahkamah Persekutuan).

Bagaimanapun ia juga bergantung kepada permohonan lisan yang dijangka dibuat oleh peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik untuk menangguhkan prosiding.

Najib gagal dalam cubaan pertama pada 16 Mac lalu apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya untuk memasukkan bukti membabitkan dakwaan bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya, bersekongkol dalam rancangan jahat ahli perniagaan kontroversi yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Ketika sidang media selepas prosiding hujahan permohonan itu semalam, Hisyam berkata, beliau yakin permohonan pihaknya untuk memasukkan bukti baharu dan untuk menangguhkan prosiding rayuan akan dibenarkan mahkamah.

Najib meninggalkan Istana Kehakiman semalam, selepas menghadiri perbicaraan rayuan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta. - Foto BERNAMA

Berita Harian X