Isnin, 15 Ogos 2022 | 9:16pm
Zuliera (dua dari kanan) ketika menyambut keberangkatan tiba Raja Muda Perlis (dua dari kiri) dan Raja Puan Muda Perlis (kiri sekali) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kloten di Zurich, Switzerland. - Foto ihsan MAIPS
Zuliera (dua dari kanan) ketika menyambut keberangkatan tiba Raja Muda Perlis (dua dari kiri) dan Raja Puan Muda Perlis (kiri sekali) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kloten di Zurich, Switzerland. - Foto ihsan MAIPS

Lebih 24,000 peluang kerja hasil pelaburan Switzerland di Malaysia

KANGAR: Kerjasama dijalin Malaysia dan Switzerland khususnya dalam aspek pelaburan menyuntik manfaat besar khususnya melalui lebih 24,000 peluang pekerjaan yang diwujudkan untuk rakyat negara ini.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Bern, Switzerland, Zuliera Zariz Azman Aziz, berkata peluang pekerjaan itu wujud hasil 231 projek dengan nilai pelaburan masuk diluluskan dari Switzerland ke Malaysia berakhir 2021 berjumlah RM17.2 billion.

Katanya, produk perkilangan kekal sebagai produk perdagangan utama antara kedua-dua negara pada 2021, antaranya seperti produk elektrikal dan elektronik, petroleum, bahan kimia dan produk kimia serta produk berasaskan kelapa sawit.

Syarikat multinasional dari Switzerland juga sudah banyak yang bertapak di Malaysia, antaranya Nestle, VAT Group, Haco, ABB Group, Escatec Group, RUAG International Holding AG, Roche Holding AG dan lain-lain lagi.

"Switzerland antara pelabur terbesar di Malaysia, di mana pada tahun 2021 negara itu adalah pelabur ketiga terbesar dari Eropah.

"Kedudukan Switzerland di tengah benua Eropah dengan keadaan ekonomi serta politik yang amat stabil menjadikannya sebuah negara yang amat strategik untuk urusan perdagangan, ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, dan lain-lain.

"Industri pekerjaannya yang amat berdaya saing menarik lebih 1,400 rakyat Malaysia untuk tinggal bekerja di sini.

"Pada masa yang sama, ramai tenaga pakar dari negara Switzerland sedang dan akan bekerja secara sepenuh atau separuh masa di Malaysia dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang farmasi, kejuruteraan dan kewangan," katanya melalui kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyambut keberangkatan tiba Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs di Lapangan Terbang Antarabangsa Kloten di Zurich, Switzerland baru-baru ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir Konsul Kehormat Malaysia bagi kanton Zurich dan Aargau, Guna Mahalingam.

Perdagangan Malaysia dan Switzerland pada 2021 mencecah AS$2.34 bilion (RM10.44 bilion), meningkat 11.3 peratus berbanding 2020.

Daripada jumlah ini, eksport Malaysia sebanyak AS$471.4 juta (RM2.1 bilion), turun 26.4 peratus berikutan impak COVID-19 yang menjejaskan kapasiti penggiat industri serta kekurangan bahan mentah kerana isu geopolitikal.

Syarikat di Malaysia pula mengimport daripada Switzerland dengan nilai import AS$1.86 bilion (RM8.29 bilion) pada 2021, peningkatan 27.9 peratus. Walaupun, Malaysia mengimport lebih banyak daripada mengeksport, momentum aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara dapat dikekalkan.

Dalam pada itu, Raja Mujda Perlis berkenan menyerahkan sumbangan tambahan MAIPs untuk Tabung Ibnu Sabil bagi kegunaan rakyat Malaysia dalam kesusahan di Switzerland untuk diamanahkan melalui budi bicara pihak kedutaan.

Sumbangan terakhir daripada MAIPs kepada pihak kedutaan di sana untuk tujuan yang sama adalah pada tahun 2019, sempena keberangkatan baginda ketika itu.

Tuanku Syed Faizuddin mempunyai jaringan luas di negara berkenaan kerana pernah berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan Malaysia Airlines bagi Switzerland, Austria dan Eropah Tengah yang berpejabat di Zurich antara 1998 hingga 2002.

Baginda kemudian berangkat pulang untuk memegang amanah sebagai Pemangku Raja Perlis ketika Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-12.

Berita Harian X