Isnin, 15 Ogos 2022 | 9:05pm

Beli nasi ayam peniaga bukan Islam, jual kepada pelanggan Islam

GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa pihak berkuasa agama Islam negeri ini menyiasat tindakan peniaga nasi ayam Islam yang dipercayai membeli makanan itu dari kedai bukan Islam.

Katanya, jika didapati peniaga itu kemudian menjual nasi ayam dibeli dari kedai bukan Islam kepada pelanggan Muslim, pelakunya perlu dihadapkan ke mahkamah untuk dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Beliau mengulas video tular mengenai dua lelaki dipercayai Melayu datang ke sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong di sini, untuk mengambil pesanan nasi ayam dan dipercayai dijual kepada pelanggan di gerai mereka di Sungai Ara.

Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi netizen dan ada yang mendakwa pernah membeli juadah itu di gerai mereka.

Wan Salim menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak wajar dan dianggap menipu masyarakat Muslim yang bersangka baik kepada peniaga beragama Islam, malah amat menyedihkan kerana menunjukkan ada dalam kalangan orang Islam tidak mempedulikan lagi hukum agama.

"Pelanggan Muslim menyangka ayam itu sudah disembelih mengikut kaedah hukum syarak serta halal dimakan namun, rupa-rupanya diambil dari kedai orang bukan Islam dan besar kemungkinan tidak halal.

"Perbuatan sedemikian adalah berdosa menyebabkan masyarakat Islam memakan ayam yang tak halal kerana sudah menjadi bangkai. Ini bertentangan dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran.

"Umat Islam diwajibkan makan makanan halal, manakala memakan bangkai diharamkan menurut nas al-Quran," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Tangkap layar video tular memaparkan dua lelaki dipercayai Melayu didakwa membeli nasi ayam di restoran bukan Islam di Paya Terubong, sebelum menjualnya kepada pelangan Muslim. - FOTO TULAR.
Tangkap layar video tular memaparkan dua lelaki dipercayai Melayu didakwa membeli nasi ayam di restoran bukan Islam di Paya Terubong, sebelum menjualnya kepada pelangan Muslim. - FOTO TULAR.
Berita Harian X