Isnin, 15 Ogos 2022 | 1:44pm
KUALA LUMPUR 25 MEI 2021. Tinjauan orang ramai pulang bekerja menggunakan LRT. NSTP/ASWADI ALIAS.
KUALA LUMPUR 25 MEI 2021. Tinjauan orang ramai pulang bekerja menggunakan LRT. NSTP/ASWADI ALIAS.

Tiga kaedah laksana kerja 45 jam seminggu

KUALA LUMPUR: Susulan pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu berkuat kuasa 1 September ini, Kementerian Sumber Manusia mencadangkan tiga kaedah yang boleh digunakan majikan atau industri untuk melaksanakan peraturan baharu itu.

Bagaimanapun, majikan tidak dibenarkan mengurangkan gaji pekerja untuk melaksanakan tiga kaedah terbabit.

Mengulas lanjut tiga kaedah itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata kaedah pertama ialah dengan mengurangkan waktu bekerja harian dalam seminggu.

"Contohnya jika seseorang pekerja bekerja enam hari seminggu dengan waktu kerja lapan jam sehari, majikan boleh mengurangkan waktu kerja itu kepada 7.5 jam sehari.

"Selain itu, majikan juga mengurangkan waktu bekerja dalam mana-mana hari dalam seminggu.

"Jika seseorang pekerja bekerja enam hari seminggu iaitu Isnin hingga Sabtu dengan waktu kerja lapan jam sehari, majikan boleh memendekkan waktu bekerja pada hari Sabtu daripada lapan jam kepada lima jam," katanya kepada BH.

Saravanan berkata, kaedah ketiga ialah majikan boleh mengurangkan waktu bekerja mingguan daripada enam hari kepada lima hari bekerja.

Beliau berkata, majikan bebas untuk memilih mana-mana kaedah yang dinyatakan mengikut kesesuaian operasi masing-masing.

"Namun, ingin ditegaskan, pengurangan waktu bekerja ini tidak boleh membabitkan pengurangan gaji sedia ada pekerja. Majikan yang mengurangkan gaji boleh dikenakan tindakan," katanya.

Pelaksanaan pengurangan waktu bekerja mingguan ini membabitkan semua sektor pekerjaan swasta di Semenanjung dan Labuan.

Minggu lalu, Dewan Negara diberitahu pindaan kepada Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam akan berkuat kuasa pada 1 September ini.

Pewartaan tarikh kuat kuasa akta ini dijangka dibuat dalam tempoh yang terdekat.

Saravanan berkata, pengurangan waktu kerja yang ditetapkan melalui pindaan Akta Kerja 1955 ini bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan hidup supaya pekerja mempunyai lebih masa untuk keluarga dan urusan peribadi lain.

Katanya, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, sudah mengadakan beberapa siri 'roadshow' di seluruh negara bagi memberi penerangan berhubung pindaan akta ini kepada pihak yang berkepentingan khususnya majikan, persatuan majikan, kesatuan sekerja dan pekerja sejak Julai lalu.

"Pengurangan waktu kerja ini selaras dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 'Reduction of Hours of Work Recommendation' 1962 (No. 116) kepada negara anggota supaya mengambil langkah mengurangkan waktu kerja tanpa membabitkan pengurangan gaji.

"Pengurangan waktu bekerja kepada 45 jam seminggu ini bukanlah suatu yang baharu kerana banyak negara lain di dunia sudah pun mengamalkan waktu bekerja mingguan yang lebih rendah daripada 45 jam seminggu. Antaranya Norway, Jerman, Belgium dan Amerika Syarikat yang mengamalkan waktu kerja 40 jam seminggu.

"Malah, negara jiran Singapura juga mengamalkan waktu kerja 44 jam seminggu, manakala Filipina mengamalkan waktu kerja 45 jam seminggu," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang melaksanakan waktu kerja 40 jam seminggu seperti disarankan ILO, Saravanan berkata, ia perlu diteliti lebih mendalam dengan mengambil kira pandangan daripada majikan terlebih

dahulu.

Katanya, JTK komited untuk memastikan golongan pekerja di negara ini mendapat faedah dan perlindungan yang ditetapkan oleh ILO.

"Namun, sebarang keputusan untuk mengurangkan waktu bekerja kepada 40 jam seminggu perlu penelitian lebih mendalam," katanya.

Mengenai kenyataan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), bahawa pelaksanaan waktu kerja baharu akan menjejaskan operasi syarikat, Saravanan berkata, sesi libat urus dan penerangan sudah diadakan dengan pemegang taruh sejak 2015.

Beliau berkata, ia dilakukan melalui pelbagai platform seperti sesi 'townhall', dialog, seminar, mesyuarat dan maklum balas dalam talian yang membabitkan semua pemegang taruh, termasuk ILO, persatuan majikan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam.

"Malah, cadangan pindaan kepada Akta Kerja 1955 ini juga dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) yang mana MEF adalah antara anggota tetap majlis itu," katanya.

Berita Harian X