Sabtu, 13 Ogos 2022 | 6:38pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

JAWI siasat 'markas' kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mendapati kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah tidak lagi menggunakan sebuah premis di ibu kota yang dikatakan dijadikan markas kumpulan itu.

Perkara itu hasil siasatan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JAWI di premis terbabit, baru-baru ini.

Jabatan itu dalam kenyataan, memaklumkan usaha pemantauan lanjut kini sedang dilakukan selepas siasatan mendapati kumpulan itu tidak lagi menjalankan kegiatannya di premis itu seperti ditularkan.

"Bagaimanapun JAWI akan terus melaksanakan pemantauan dan amat mengalu-alukan aduan berterusan daripada masyarakat," katanya.

Sebelum ini, tular poster berkaitan khidmat perundingan ditawarkan seorang lelaki dipercayai pengasas kumpulan itu dikenali sebagai Hadi Minallah Aminullah Ahmad dengan menggunakan alamat di sebuah kondominium di Taman Danau Kota, Setapak.

Kenyataan itu berkata, orang ramai yang mengesan kewujudan kegiatan penyebaran ajaran terbabit di mana-mana premis dalam Wilayah Persekutuan, diminta menyalurkan maklumat kepada JAWI supaya ia dapat dibanteras.

Sebarang aduan berkaitan kegiatan ajaran itu atau kesalahan jenayah syariah lain boleh disalurkan menerusi Hotline Penguatkuasaan di talian 1-800-88-1771 atau Hotline Penguatkuasan JAWI Cawangan Putrajaya di talian 1-800-88-2675.

Aduan juga boleh disampaikan terus di kaunter Bahagian Penguatkuasaan JAWI.

BH sebelum ini melaporkan kerajaan sedang memantau pergerakan kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah dikatakan dari negara jiran, yang kini dikesan aktif di beberapa negeri di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata fahaman kumpulan itu nyata dan jelas menyimpang daripada ajaran sebenar Islam.

Terdahulu, kumpulan itu dikesan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui Youtube atas nama Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah, selain bergerak sebagai sebuah yayasan dikenali Yayasan Nur Mutiara Makriffattullah.

Berdasarkan video tular itu, seorang lelaki mendakwa pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minnallah Aminnullah Ahmad dan berasal dari Indonesia.

Lelaki itu mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama.

Dia juga mendakwa Tuhan tidak melihat kepada agama, selain turut menolak hadis.

Lelaki itu juga didapati menyelewengkan tafsiran al-Quran, menganggap dirinya wali, mengharamkan makan daging dan mewajibkan pengikutnya membayar zakat kepadanya sebagai tanda menyucikan diri.

Pengikut kumpulan itu yang berpakaian putih dan berserban didakwa aktif di Kuala Lumpur; Kajang, Selangor serta Johor.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan menyekat penularan ajaran itu.

Berita Harian X