Jumaat, 12 Ogos 2022 | 6:15pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto fail NSTP
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto fail NSTP

Prestasi ekonomi Malaysia atasi negara maju, serantau

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia meneruskan momentum pemulihan dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2022 mencapai pertumbuhan 8.9 peratus, lebih kukuh berbanding prestasi ekonomi beberapa negara maju dan serantau.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia termasuk prestasi ekonomi China (0.4 peratus), Amerika Syarikat (1.6 peratus), Kesatuan Eropah (4.0 peratus), Singapura (4.4 peratus), Indonesia (5.4 peratus) dan Filipina (7.4 peratus).

"Dengan pencapaian suku kedua 2022 itu, pertumbuhan bagi separuh tahun pertama 2022 adalah 6.9 peratus dan jangkaan suku ketiga terus kukuh.

"Justeru, kerajaan yakin ekonomi Malaysia mampu mencapai unjuran KDNK rasmi 2022, iaitu di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul berkata, perkembangan ekonomi suku kedua 2022 yang memberangsangkan ini antara lain adalah hasil daripada dasar fiskal yang mengembang melalui Bajet 2022, limpahan positif dari pakej bantuan

dan rangsangan ekonomi dan Bajet 2021, serta dasar monetari yang kekal

akomodatif.

Beliau berkata, bersama dengan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya dan sempadan antarabangsa, ia mendorong pertumbuhan penggunaan swasta sebanyak 18.3 peratus yang menjadi penyumbang utama kepada KDNK.

"Selain itu, pertumbuhan suku kedua 2022 juga disokong oleh pemulihan pasaran buruh yang berterusan dan peningkatan permintaan dalam dan luar negara, terutamanya melalui sektor perkhidmatan serta pembuatan," katanya.

Tengku Zafrul berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus disokong oleh aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak, serta permintaan domestik dan luar yang terus kukuh berikutan peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan sempadan antarabangsa.

Katanya, momentum pertumbuhan ekonomi dijangka terus kukuh pada suku suku ketiga 2022, didorong oleh prestasi perdagangan luar dan sektor pelancongan yang memberangsangkan.

"Namun demikian, kerajaan sentiasa berwaspada bagi tempoh separuh tahun kedua 2022, di mana prospek ekonomi masih berhadapan dengan risiko pertumbuhan yang lebih sederhana berikutan ketidaktentuan ekonomi global berpunca terutamanya daripada konflik Russia-Ukraine yang berpanjangan serta prestasi ekonomi China yang perlahan berikutan pelaksanaan langkah ketat bagi mengekang penularan COVID-19.

"Risiko-risiko sedemikian telah menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran pertumbuhan global bagi tahun 2022 daripada 3.6 peratus kepada 3.2 peratus.

"Selain itu, beliau menegaskan bahawa tekanan inflasi yang lebih tinggi berikutan harga komoditi dan makanan yang dijangka meningkat, serta

gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan turut menjadi faktor yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi global," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kewangan buat masa ini sedang giat menyediakan Bajet 2023 melalui konsultasi dan sesi libat urus bersama pelbagai sektor ekonomi dan negeri-negeri bagi memastikan belanjawan yang dibentangkan memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia.

Antara tumpuan Bajet 2023, katanya termasuklah pengurusan subsidi yang lebih mampan, usaha pembaharuan ekonomi, serta memperkukuhkan daya tahan negara terhadap sebarang kejutan pada masa depan.

"Inisiatif berkaitan kelestarian turut diambil kira dengan lebih meluas dalam Bajet 2023 susulan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang serius.

"Seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pasca COVID-19, Bajet 2023 juga akan terus mengutamakan agenda kesejahteraan rakyat, khususnya dalam aspek peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial.

"Usaha pembaharuan ekonomi juga akan diutamakan bagi memastikan pertumbuhan mampan serta peningkatan daya saing perniagaan dan

rantaian nilai," katanya.

Melangkah ke hadapan, Tengku Zafrul berkata kerajaan dan agensi-agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan pelbagai risiko ekonomi, selain memastikan keberkesanan keputusan dasar dalam mengurus kejutan luaran yang boleh memberi kesan ke atas kesejahteraan rakyat dan perniagaan.

Berita Harian X