Jumaat, 12 Ogos 2022 | 12:00pm
Antara kesan tanah runtuh di Gunung Inas.
Antara kesan tanah runtuh di Gunung Inas.

Gunung Inas rosak teruk

Baling: Kawasan seluas 600 hektar di puncak Gunung Inas yang digondolkan sebelum ini untuk tujuan penanaman ladang durian Musang King berskala besar didapati mengalami kerosakan sangat teruk dan sukar dipulihkan dalam tempoh terdekat.

Susulan tragedi 4 Julai lalu yang mengorbankan tiga nyawa dan menjejaskan kehidupan hampir 1,500 penduduk, wartawan dan jurugambar BH membuat tinjauan dengan melakukan pendakian selama tujuh jam ke puncak Gunung Inas yang berketinggian hampir 1,000 meter baru-baru ini untuk melihat sendiri kerosakan di puncak gunung itu.

Tinjauan BH mendapati puncak gunung itu kini mengalami kerosakan dan lokasi itu kini menjadi kawasan terbiar selepas dipercayai ditinggalkan pekerjanya sejak beberapa bulan lalu.

Kolam takungan dibina bagi menakung air untuk menyiram pokok durian di puncak Gunung Inas. - NSTP/Danial Saad
Kolam takungan dibina bagi menakung air untuk menyiram pokok durian di puncak Gunung Inas. - NSTP/Danial Saad

Daripada kawasan subur yang dipenuhi pelbagai spesis balak dan pokok kayu hutan, puncak gunung itu kini hanya dipenuhi tumbuhan renek dengan kesan puluhan hakisan dan tanah runtuh menjadikannya sangat tidak stabil bagi sebarang aktiviti.

Ketiadaan pokok kayu bersaiz besar yang berfungsi sebagai tumbuhan tutup bumi turut membuatkan tanah di kawasan itu tidak dapat menyerap hujan mengakibatkan aliran air menjadi laju memasuki anak sungai setiap kali hujan lebat.

Sistem saliran paip poli sepanjang kira-kira 600 meter dipasang bagi menyalurkan air kolam takungan.
Sistem saliran paip poli sepanjang kira-kira 600 meter dipasang bagi menyalurkan air kolam takungan.

Kesan kegiatan penebangan balak dan pembukaan ladang durian yang dibuat syarikat swasta sebelum ini, masih dapat dilihat apabila terdapat pondok yang dijadikan tempat tidur pekerja didirikan di kawasan landai, selain beberapa alat ganti kenderaan berat turut ditemui.

Selain itu, ratusan anak pokok durian spesis Musang King dianggar berusia antara setahun hingga dua tahun berdasarkan ketinggiannya, masih dapat ditemui sekitar kawasan ladang yang mengikut laporan sebelum ini membabitkan kawasan seluas sehingga 52 hektar.

Risiko kolam pecah

Turut dapat dilihat adalah kedudukan tiga kolam takungan utama dianggar berukuran lebar 25 meter dan panjang 40 meter dipercayai dibina pekerja syarikat ladang bagi tujuan menakung air yang kemudian diguna bagi menyiram pokok durian, didapati masih berada dalam keadaan baik.

Zabidi menunjukkan anak pokok durian di Gunung Inas.
Zabidi menunjukkan anak pokok durian di Gunung Inas.

Kolam ini dipercayai dikorek menggunakan jentera berat dan hanya dilapik menggunakan kanvas tebal yang didapati mempunyai kesan koyak, sekali gus mengundang risiko berlakunya kejadian kolam pecah sekiranya strukturnya tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.

Lokasi tiga kolam yang dianggar sebesar gelanggang futsal ini pula terletak di kedudukan paling tinggi di puncak gunung, dipercayai bagi memudahkan air disalirkan melalui paip poli bersaiz kecil ke seluruh kawasan ladang bagi tujuan penyiraman pokok durian.

Punca air kolam ini dipercayai dipam menggunakan enjin diesel yang diubah suai yang berfungsi menyedut air yang ditakung di tandak atau empangan kecil yang dibina secara bertingkat-tingkat di anak sungai berdekatan.

Empangan kecil atau tandak air yang dikesan di Gunung Inas.
Empangan kecil atau tandak air yang dikesan di Gunung Inas.

Sekitar kawasan ladang juga, dapat dilihat sistem saliran paip poli dianggar sepanjang sehingga kira-kira 600 meter, dipercayai dipasang pekerja yang menunjukkan syarikat terbabit mempunyai pengalaman luas dalam penanaman durian Musang King.

Tinjauan BH juga mendapati berlaku banyak runtuhan tebing tanah merah di sepanjang laluan bermula dari Lata Chelak sehingga ke puncak Gunung Inas, malah terdapat kesan runtuhan baharu dilihat berdasarkan keadaan tanah yang masih berselut.

Paling membimbangkan adalah kawasan lereng bukit menuju puncak Gunung Inas yang asalnya adalah laluan anak sungai mengalir menuju ke Sungai Kupang, mengalami runtuhan tanah berskala besar dengan lebarnya dianggar sekurang-kurangnya 30 meter sehingga bongkah batu sebesar rumah dapat jelas dilihat.

Semasa tragedi, banjir lumpur dan aliran puing yang berlaku di kawasan Kampung Iboi dan sekitar Mukim Kupang dipercayai akibat empangan kecil/tandak yang dibina secara bertingkat-tingkat pecah ketika hujan lebat di puncak gunung.

Dipercayai banjir lumpur dan aliran puing di kawasan Kampung Iboi dan sekitar Mukim Kupang berlaku apabila empangan kecil yang dibina secara bertingkat-tingkat pecah ketika cuaca hujan lebat di puncak gunung.

Pada masa sama, akibat daripada struktur tanah gunung yang tidak stabil, berlaku runtuhan tanah merah yang kemudian mengalir masuk dan memenuhi tandak, sebelum ia dipercayai pecah hampir serentak menyebabkan berlakunya aliran puing yang menjejaskan sehingga 800 rumah penduduk kampung.

Sekat aliran air sungai

Kesan runtuhan empangan kecil yang dibina menggunakan batang balak yang dipotong sebelum disusun tinggi bagi tujuan menyekat aliran air anak sungai dapat dilihat dalam tinjauan dilakukan berdasarkan timbunan kayu berkenaan di sekitar lokasi bencana.

Berdasarkan kerosakan yang berlaku di puncak Gunung Inas itu, adalah dijangkakan kerja pemulihan kawasan yang telah digondolkan mungkin memakan masa sehingga 10 tahun menggunakan spesis pokok balak yang dibenarkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.

Pada 5 Ogos lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Rosli Isa, mendedahkan banjir puing yang berlaku di 12 kampung di daerah Baling awal bulan lalu disebabkan oleh fenomena proses geologi berangkai, iaitu kejadian tanah runtuh serentak secara meluas di cerun perbukitan granit terluluhawa.

Ia menyebabkan cetusan hujan lebat melampau dan diikuti pula pembentukan aliran puing, banjir puing dan banjir lumpur serta hakisan di hutan sekunder akibat penukaran guna tanah kepada hutan ladang sejak tahun 2010.

Laporan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling turut mendapati ratusan tanah runtuh kecil yang sudah berlaku sejak lebih 15 tahun lalu.

Terdahulu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan kawasan persekitaran Gunung Inas dikesan belum stabil dan masih terdedah pada ancaman tanah runtuh, selain jatuhan batuan kerana ada bongkah batuan yang longgar dan tergantung di lereng gunung.

Dalam tragedi itu, tiga penduduk terkorban, lebih 800 rumah penduduk terutama di Kampung Iboi serta sekitar Kupang terjejas, termasuk 15 kediaman lenyap dan 18 lagi rosak teruk terkena kayu balak hanyut yang dibawa kepala air dari arah gunung.

Difahamkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang dalam proses mengumpul maklumat dan membuat siasatan bagi menentukan sekiranya wujud unsur rasuah atau salah laku berkaitan pembangunan projek ladang hutan durian Musang King di Gunung Inas, Kupang, Baling.

Berita Harian X