Khamis, 11 Ogos 2022 | 5:08pm
Foto hiasan
Foto hiasan

MTUC minta majikan tidak manipulasi pengurangan waktu bekerja

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa majikan tidak manipulasi bayaran kerja lebih masa apabila pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam akan dilaksanakan bermula 1 September ini, selaras dengan pindaan Akta Kerja 1955.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata pihaknya juga berharap penguatkuasaan secara berterusan dapat dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja, bagi memastikan pelaksanaan itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

"Besar harapan MTUC dengan pelaksanaan waktu bekerja yang lebih singkat, majikan tidak akan memanipulasi pengiraan pekerja lebih masa atau tidak mematuhinya langsung.

"Pindaan Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam bermula 1 September ini adalah langkah awal yang diambil oleh kerajaan bagi keseimbangan waktu bekerja dengan kehidupan seharian.

"Justeru, kerjasama dan tanggungjawab sesebuah organisasi perlu dilaksanakan dengan penuh komited, ini kerana kita tidak mahu pelaksanaan pengurangan waktu bekerja ini menerima nasib yang sama seperti isu gaji minimum.

"Sehingga hari ini, MTUC menerima aduan mengenai pelaksanaan Gaji Minimum yang masih menjadi isu. Masih terdapat syarikat yang enggan membayar gaji yang sepatutnya. Ada yang berhenti membayar elaun tetap bulanan untuk digunakan sebagai bayaran gaji minimum," katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim memberitahu Dewan Negara, pindaan kepada Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam akan berkuat kuasa pada 1 September ini.

Pengurangan waktu bekerja itu mengikut Fasal 21 Seksyen 60C akta itu adalah untuk menggalakkan keseimbangan waktu bekerja dengan kehidupan seharian, selari dengan pematuhan ke atas piawaian buruh antarabangsa melalui ketetapan waktu bekerja mengikut Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan selaras dengan amalan pengurangan waktu kerja setiapminggu di negara lain.

Sebelum ini, media melaporkan sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu berdasarkan tinjauan oleh Qualtric, syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian.

Secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan adalah untuk waktu kerja fleksibel adalah sebanyak 60 peratus berbanding hari bekerja lebih singkat dalam seminggu.

Mengulas mengenai pengurangan waktu bekerja itu, Mohd Effendy berkata, MTUC sejak dahulu lagi memperjuangkan mengenai isu itu dan pernah mengusulkan kepada kerajaan untuk mengurangkan tempoh bekerja kepada hanya 40 jam seminggu.

"Bila kerajaan bersetuju untuk memendekkan ke 45 jam seminggu, kita anggap itu satu permulaan yang baik, dan sekiranya ia dilaksanakan kelak serta melihat keberkesanannya, mungkin kita boleh mengkaji semula dari masa ke semasa.

"Kita percaya, dengan pengurangan tempoh bekerja ini akan memberi lebih banyak masa pekerja berehat serta meluangkan masa bersama keluarga. Bila individu itu mendapat rehat yang cukup, ia akan memberi kesan kepada produktiviti seseorang seterusnya meningkatkan semangat bekerja mereka.

"Pekerja adalah aset terpenting dalam sesebuah organisasi yang berperanan menentukan hala tuju dan matlamat organisasi yang hendak dilaksanakan dan dicapai. Jadinya, pekerja perlu komited sepenuhnya kepada organisasi, seterusnya meningkatkan produktiviti melalui tanggungjawab. Dalam konteks ini, sekiranya pelaksanaan masa bekerja ini dipendekkan ia akan memberi kesan yang lebih baik kepada produktiviti sesebuah organisasi," katanya.

Beliau turut memaklumkan, kajian oleh pihak antarabangsa membuktikan pekerja yang sihat dan ceria sentiasa mempunyai motivasi dan semangat kerja yang lebih tinggi.

"Secara tidak langsung, pekerja yang handal dan bertanggungjawab juga akan meningkatkan produktiviti, seterusnya memberi keuntungan kepada negara," katanya.

Selain itu, Mohd Effendy juga berkata, pindaan Akta Kerja 1955 menunjukkan negara berada di landasan baik ke arah pematuhan terhadap piawaian buruh antarabangsa melalui ketetapan waktu bekerja mengikut ILO.

"Berdasarkan maklumat kita peroleh, waktu kerja standard kebanyakan negaraadalah sekitar 40 hingga 44 jam seminggu maka dengan pelaksanaan 45 jam seminggu, MTUC berharap kerajaan akan terus prihatin dalam memastikan pengurangan waktu bekerja akan terus dipinda.

"Pelaksanaan ini, sebenarnya, tidak perlu banyak penyelidikan kerana ia sudah terbukti di seluruh dunia bahawa ia mempunyai kesan positif terhadap sektor ekonomi dan juga kesihatan pekerjaan," katanya kepada BH, di sini.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, menjelaskan pengurangan waktu bekerja kepada 45 jam seminggu itu tidak terpakai kepada penjawat awam di negara ini.

Berita Harian X