Khamis, 11 Ogos 2022 | 1:57pm
Ahmad Zahid Hamidi hadir pada perbicaraan kes pertuduhan menerima rasuah sebanyak SG13.56 juta daripada UKSB di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. - Foto NSTP/Genes Gulitah
Ahmad Zahid Hamidi hadir pada perbicaraan kes pertuduhan menerima rasuah sebanyak SG13.56 juta daripada UKSB di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. - Foto NSTP/Genes Gulitah

Pihak pendakwaan tutup kes rasuah Ahmad Zahid

SHAH ALAM: Selepas 18 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), antara 2014 hingga 2018.

Saksi terbabit termasuk dua bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani serta bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 24 Mei tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa bahawa pendakwaan menutup kesnya selepas saksi terakhir, Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, V Mahendran, 38, selesai memberi keterangan.

Pendakwaan tawar 27 saksi kepada pasukan pembelaan

Pihaknya juga menawarkan 27 saksi kepada pihak pembelaan termasuk bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kawalan dan Penguatkuasaan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wahab Mohd Yasin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan II) Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad serta pegawai SPRM, S Vijaya Kumar (pengadu kes).

Susulan itu, hakim memerintahkan pihak pembelaan dan pendakwaan untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing pada 29 Ogos dan 5 September ini.

Mahkamah turut menetapkan 1, 2, 5 hingga 8 September ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintah membela diri.

Selepas 18 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), antara 2014 hingga 2018. - Foto NSTP/Genes Gulitah
Selepas 18 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), antara 2014 hingga 2018. - Foto NSTP/Genes Gulitah

"Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan pembelaan dan pendakwaan atas kerjasama dalam kes ini sehingga ia ditutup (pada akhir kes pendakwaan)," katanya.

Pasukan pendakwaan turut diwakili Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani manakala Ahmad Zahid diwakili peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik; Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Zahid Hamidi berdepan 33 pertuduhan terima suapan

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD$13.56 juta (RM43.97 juta) daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN), serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu mendapatkan untuk dirinya wang tunai SGD$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Terdahulu ketika pemeriksaan balas oleh Ahmad Zaidi; Mahendran berkata, beliau menyiasat Datuk Seri Hishammuddin Hussein, namun tidak merakam keterangan Menteri Kanan Pertahanan itu berhubung kontrak OSC dan VLN berkenaan.

Saksi itu berkata, ia kerana nama Hishammuddin yang juga bekas Menteri Dalam Negeri tiada dalam buku lejar UKSB yang merekodkan kemasukan dan pengeluaran wang syarikat.

Ahmad Zaidi: Fokus siasatan kepada Ahmad Zahid sahaja?

Mahendran: Tidak setuju. Fokus kepada kontrak VLN dan OSC membabitkan pegawai serta menteri-menteri KDN iaitu Hishammuddin dan Ahmad Zahid.

Ahmad Zaidi: Percakapan individu termasuk menteri, pegawai kerajaan dan pegawai (Jabatan) Imigresen dirakam SPRM?

Mahendran: Ya.

Ahmad Zaidi: KJ (Khairy Jamaluddin), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (dirakam keterangan)?

Mahendran: Tidak pasti.

Peguam Zahid dakwa 3 saksi tak boleh dipercayai

Ahmad Zaidi juga mencadangkan Vui Khiun, Wan Quoris dan Siong Sun adalah saksi tidak boleh dipercayai selepas nama tokoh politik disebut mereka membuat penafian menerima wang daripada UKSB, namun ia tidak dipersetujui Mahendran.

Ahmad Zaidi: Kami pertikaikan jumlah wang diterima Ahmad Zahid (seperti disebut Mahendran dalam penyataan saksi), cuma RM100,000 sebanyak dua kali sahaja (diterima bekas Timbalan Perdana Menteri itu).

Mahendran: Tidak setuju.

Semalam, Mahendran memberitahu mahkamah bahawa UKSB menyerahkan wang tunai secara bulanan dengan jumlah keseluruhan SGD$13.56 juta kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Saksi itu dilaporkan berkata, syarikat berkenaan juga menyerahkan wang tunai secara sekali beri termasuk SGD$1 juta dan RM3 juta sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71 serta pilihan raya kepada Ahmad Zahid.

Sebelum ini, Mahathir dan Muhyiddin masing-masing bekas Perdana Menteri serta Khairy yang juga Menteri Kesihatan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak pernah menerima wang daripada syarikat berkenaan.

Berita Harian X