Khamis, 11 Ogos 2022 | 1:06pm
Anggota bomba sedang memeriksa kepingan logam dipercayai serpihan roket Long March 5B milik China yang ditemukan jatuh di kebun kelapa sawit milik Kiai Naga berdekatan Kampung Semawa Ulu, Pantu di Sri Aman lewat petang semalam. - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba sedang memeriksa kepingan logam dipercayai serpihan roket Long March 5B milik China yang ditemukan jatuh di kebun kelapa sawit milik Kiai Naga berdekatan Kampung Semawa Ulu, Pantu di Sri Aman lewat petang semalam. - Foto ihsan Bomba

Kepingan logam disyaki serpihan roket China di Sri Aman tiada unsur radioaktif

SRI AMAN: Kepingan logam dipercayai serpihan roket Long March 5B milik negara China yang ditemukan dalam kebun kelapa sawit di Kampung Semawa Ulu, Pantu di sini pada Isnin lalu, tidak mengandungi radiasi atau unsur radioaktif.

Pemeriksaan awal terhadap objek itu dibuat oleh pihak Jabatan Kimia Malaysia, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), bomba dan polis yang bergerak ke lokasi itu untuk melakukan siasatan semalam.

"Berdasarkan siasatan awal tiada sebarang radiasi atau unsur radioaktif dikesan pada objek berwarna perak yang berukuran 2.3 meter panjang dengan lebar satu meter terbabit.

"Serpihan terbabit kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk tindakan dan siasatan lanjut," kata Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan, malam tadi.

Terdahulu, kepingan logam terbabit ditemukan sekumpulan pekerja yang hendak memulakan kerja semburan racun di kebun kelapa sawit itu pada Isnin lepas sebelum ia dilaporkan kepada pemiliknya iaitu Kiai Naga, 78 tahun.

Selain di Pantu, Sri Aman, serpihan roket terbabit turut ditemui di beberapa kawasan lain di utara Sarawak antaranya ialah di Kampung Nyalau dekat Bintulu dan Sepupok Lama, Niah di Miri.

Berita Harian X