Khamis, 11 Ogos 2022 | 1:06pm
Awang Hashim melawat tapak pameran selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Dokumen antara Educity Iskandar Malaysia dan DOE Training dan Consultancy bagi membangunkan sebuah pusat interaktif keselamatan (Safe Centro) Khas untuk Kanak-kanak dan Remaja di Educity Complex di Iskandar Puteri, Johor Bahru, hari ini. - Foto NSTP/Mary Victoria Dass
Awang Hashim melawat tapak pameran selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Dokumen antara Educity Iskandar Malaysia dan DOE Training dan Consultancy bagi membangunkan sebuah pusat interaktif keselamatan (Safe Centro) Khas untuk Kanak-kanak dan Remaja di Educity Complex di Iskandar Puteri, Johor Bahru, hari ini. - Foto NSTP/Mary Victoria Dass

Jangan pertikai di media sosial pengurangan waktu kerja mingguan

ISKANDAR PUTERI: Pindaan Akta Kerja 1955 berkaitan pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam berkuat kuasa 1 September depan tidak perlu dipertikaikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata pihaknya bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak bagi mencapai penyelesaian sekiranya ada persoalan yang timbul kelak.

Awang yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata, tindakan menyebarkan sesuatu pertikaian berkaitan pelaksanaan pindaan berkenaan di media sosial hanya menimbulkan masalah dan kekeliruan.

"Pelaksanaan ini adalah hasil dapatan kajian dibuat termasuk dalam kalangan pekerja, persatuan pekerja dan majikan di mana ia suatu tindakan baik tanpa menjejaskan produktiviti mahu pun kualiti kerja.

"Apa saja kita buat pada peringkat awal, kita boleh duduk dan berbincang sebaliknya bukan dikongsi dalam media sosial kerana ia boleh menimbulkan masalah.

"Pindaan ini tidak perlu dipertikaikan kerana ada negara maju yang melaksanakan waktu bekerja 40 jam seminggu namun produktiviti mereka meningkat," katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Awang berkata, pindaan akta itu juga membolehkan pekerja menggunakan susunan waktu bekerja yang lebih fleksibel.

"Menerusi peraturan baharu itu, pekerja dibenarkan bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik COVID-19.

"Kita menumpu kepada pembangunan institusi kekeluargaan selain kita juga sudah memasuki suatu tamadun pasca pandemik (yang) kita tidak jangka.

"Kementerian juga sedang mengkaji bagi menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk sistem bekerja dari rumah supaya ia tidak timbul pertikaian antara majikan dan pekerja," katanya.

Pindaan kepada Akta Kerja yang akan berkuat kuasa 1 September ini membabitkan pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Sebelum ini media melaporkan, sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu berdasarkan tinjauan oleh Qualtric, syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian.

Secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan adalah untuk waktu kerja fleksibel adalah sebanyak 60 peratus berbanding hari bekerja lebih singkat dalam seminggu.

Berita Harian X