Khamis, 11 Ogos 2022 | 1:01pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Industri perlombongan nadir bumi perlu ditransformasi

PUTRAJAYA: Industri Perlombongan Unsur Nadir Bumi Radioaktif (NR-REE) yang akan dibangunkan di negara ini bakal memberi tumpuan terhadap pengeksportan produk separa siap di peringkat pertengahan atau produk akhir berasaskan mineral di hiliran.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata sepanjang pewujudan industri mineral di negara ini, kebanyakan aktiviti yang dijalankan lebih tertumpu kepada aktiviti perlombongan semata-mata.

Katanya, bagi mendukung usaha untuk membangunkan industri mineral secara holistik, industri NR-REE itu perlu ditranformasi.

Beliau berkata, ia penting dalam memastikan pembangunan industri NR-REE di Malaysia tidak terhenti di peringkat huluan sahaja, sebaliknya diperluaskan lagi hingga menghasilkan satu ekosistem industri NR-REE yang lengkap serta mampu memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi negara.

"Hal ini selaras dengan penyataan Dasar Mineral Negara 2 (DMN2) yang menekankan pembangunan sumber mineral secara efisien dan bertanggungjawab selain mengusaha hasilkan sumber secara optimum," katanya merasmikan Simpomin NR: REE kali ke-10, di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Rosli Isa.

Takiyuddin berkata, kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020), menganggarkan sumber NR-REE di Malaysia mencecah sehingga 15.2 juta tan metrik dengan nilai sekitar RM741 bilion.

Beliau berkata, jika dinilai daripada trend semasa, pengeluaran sumber itu dijangka akan terus meningkat dan menjadi keperluan utama kepada ledakan industri 4IR.

Katanya, harga REE juga dijangka meningkat melebihi 700 peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang kerana terdapat permintaan tinggi terhadap sektor pembuatan terutamanya bagi penghasilan teknologi terkini seperti kereta elektrik, komputer, telefon pintar, industri bateri, magnet berintensiti tinggi, pembuatan kaca dan banyak lagi.

Takiyuddin berkata kebanyakan sumber yang dinyatakan itu dikenal pasti di sekitar Kelantan, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

"Melihat kepada potensi sumber ini, ia adalah satu peluang yang perlu digunakan sebaiknya oleh kerajaan bagi merancakkan semula industri mineral negara menerusi pembangunan industri NR-REE di Malaysia," katanya.

Takiyuddin berkata, bagi memastikan pembangunan industri berkenaan dapat dibangunkan secara holistik, kementeriannya sudah menetapkan beberapa sasaran utama yang merangkumi penumpuan terhadap pembangunan keseluruhan rantaian nilai NR-REE khususnya bagi peringkat pertengahan dan hiliran.

"Antaranya penggunaan sumber NR-REE secara optimum melalui penghasilan nilai tambah produk mineral tempatan; menarik kemasukan pelabur dari dalam dan luar negara bagi mewujudkan industri yang memiliki nilai rantaian mineral yang lengkap dan menjalinkan hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam industri NR-REE terutamanya dari aspek pemindahan teknologi, kepakaran dan Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I).

"Kita turut membuka peluang pekerjaan melalui pewujudan ekosistem pembangunan industri mineral dan mengekalkan kelestarian alam sekitar melalui amalan prinsip perlombongan secara bertanggungjawab dan mampan," katanya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, China sehingga kini masih mendominasi pengeluaran REE dengan anggaran pengeluaran dalam tempoh empat tahun iaitu 2018 hingga 2021 sekitar 120,000 tan metrik hingga 168,000 tan metrik setahun.

"Bagi Malaysia, pengeluaran sumber REE pada masa ini hanya diperoleh daripada mineral monazite dan xenotime iaitu produk sampingan daripada perlombongah bijih timah. Statisitik menunjukkan pengeluaran sumber REE daripada produk sampingan ini hanya mencapai sekitar 21 tan metrik hingga 1,645 tan metrik sahaja.

"Oleh demikian, berdasarkan penemuan sumber NR-REE yang bernilai tinggi ini, saya yakin, negara kita mampu untuk bersaing di peringkat global bagi menjadi pemain utama serantau dalam membekalkan sumber NR-REE.

"Rantaian pengeluaran domestik tidak hanya akan menguntungkan rakyat Malaysia, tetapi turut dapat menarik minat dan pelaburan asing, terutama ketika ekonomi utama dunia berusaha mempelbagaikan sumber bekalan mereka selain dari China," katanya.

Berita Harian X