Selasa, 9 Ogos 2022 | 10:44pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Pertumbuhan KDNK suku kedua Malaysia positif

KUALA LUMPUR: Malaysia berkemungkinan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh pada suku kedua tahun ini, dengan jangkaan lebih baik daripada 5 peratus, kata MIDF Research.

Jangkaan pertumbuhan yang lebih tinggi itu dibuat selepas lonjakan kukuh yang melebihi jangkaan dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pada Jun 2022 sebanyak 12.1 peratus, didorong oleh sektor pembuatan dan output elektrik yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, MIDF menyatakan bahawa lonjakan dalam IPI sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada suku kedua 2021 akibat sekatan pergerakan di seluruh negara tahun lepas.

IPI berkembang lebih pantas pada 6.9 peratus pada suku kedua daripada 4.5 peratus pada suku pertama.

Ia menambah, jualan pembuatan yang semakin meningkat secara amnya mencerminkan kesan positif kepada pembukaan semula ekonomi, meningkatkan perbelanjaan pengguna serta merangsang aktiviti perniagaan yang lebih baik.

"Kami menjangkakan prospek jualan pembuatan akan kekal positif apabila momentum pertumbuhan, terutamanya dalam ekonomi domestik, bertambah baik pada akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, RHB Research mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 6.1 peratus pada suku kedua memandangkan terdapatnya petunjuk ekonomi yang kukuh.

"IPI Jun lalu adalah satu kejutan. Pengembangan berterusan dalam Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia (Julai: 50.6 mata berbanding Jun: 50.4 mata) menandakan prestasi sektor pembuatan yang stabil pada masa hadapan," tambahnya.

Mengenai risiko menurun, RHB beranggapan prospek sektor pembuatan mungkin dijejaskan oleh kesan peningkatan tekanan kos dan ketidaktentuan dalam landskap global.

Tekanan inflasi pula meningkat di tengah-tengah kekurangan bahan dan harga komoditi yang tinggi dan Indeks Harga Pengeluar, yang mengukur kos barangan di pintu masuk kilang, kekal meningkat pada pertumbuhan dua angka, walaupun pada momentum yang lebih perlahan.

"Selain daripada itu, kami bimbang mengenai momentum yang perlahan dalam pertumbuhan eksport akan datang, disebabkan oleh pertumbuhan yang lembap dalam negara ekonomi utama seperti AS dan China, yang seterusnya mungkin memberi tekanan terhadap aktiviti sektor pembuatan di Malaysia," jelas RHB.

Firma penyelidikan itu berkata aktiviti pembuatan mungkin mula menunjukkan tanda-tanda kelembapan dalam beberapa bulan akan datang.

"Bagi separuh pertama 2022, IPI berkembang sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun.

Memandangkan risiko penurunan yang lebih tinggi, momentum peningkatan dalam pertumbuhan IPI mungkin meruncing pada akhir tahun, diterjemahkan kepada pertumbuhan IPI setahun penuh pada 5.4 peratus untuk 2022," tambahnya. – BERNAMA

Berita Harian X