Selasa, 9 Ogos 2022 | 6:05pm

Tak perlu tubuh RCI siasat banjir di Baling

KOTA BHARU: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyifatkan tiada keperluan untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan berlaku percanggahan punca kejadian banjir puing di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia berikutan tidak timbul isu percanggahan berhubung hasil kajian yang dibuat jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu seperti didakwa.

"Saya tidak nampak berlaku percanggahan kerana yang menguruskan jawatankuasa khas ini bukan pegawai kerajaan, sebaliknya pakar terkenal, termasuk Datuk Dr Ibrahim Komoo (pakar geobencana).

"Jadi, saya rasa hasil kajian itu tidak boleh dipertikaikan. Kalau kata nak melengkapkan lagi hasil siasatan, mungkin boleh. Justeru, untuk penubuhan RCI, saya berasakan ia tidak perlu memandangkan RCI adalah perkara besar," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), merangkap Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sultan Ismail, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KeTSA pada 5 Ogos lalu, melaporkan banjir puing yang berlaku di 12 kampung di daerah Baling, awal bulan lalu sehingga meragut tiga nyawa disebabkan oleh fenomena proses geologi berangkai iaitu kejadian tanah runtuh serentak secara meluas di cerun perbukitan granit terluluhawa.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Rosli Isa, dilaporkan berkata, perkara itu adalah berdasarkan laporan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling.

Siasatan yang dilakukan oleh pasukan berkenaan turut mengesan ratusan tanah runtuh kecil yang sudah berlaku sejak lebih 15 tahun lalu.

Dalam kejadian banjir puing 4 Julai lalu, kira-kira 800 penduduk sekitar Kupang terjejas, selain turut mengorbankan tiga nyawa, termasuk wanita hamil empat bulan dan mengakibatkan 17 rumah ranap sepenuhnya serta ratusan kediaman rosak teruk.

Banjir puing yang melanda 12 kampung di daerah Baling, 4 Julai lalu, menjejaskan kehidupan kira-kira 800 penduduk, selain turut mengorbankan tiga nyawa. - Foto fail NSTP
Banjir puing yang melanda 12 kampung di daerah Baling, 4 Julai lalu, menjejaskan kehidupan kira-kira 800 penduduk, selain turut mengorbankan tiga nyawa. - Foto fail NSTP

Semalam, Kelab Sahabat Alam Sik dan Grass Kedah, menggesa penubuhan RCI selepas berpendapat wujud percanggahan dalam laporan berhubung punca kejadian banjir puing di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu.

Penasihatnya, Mohd Sobri Ramlee dilaporkan berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengeluarkan dua kenyataan berbeza berhubung perkara itu.

"KASA sebelum ini di Dewan Rakyat memaklumkan punca banjir di beberapa kampung di Baling, berkemungkinan disebabkan kolam takungan yang dibina di projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas, pecah.

"KeTSA pula melaporkan hasil siasatan mereka mendapati kolam takungan jauh lebih kecil berbanding dengan kuantiti air yang boleh menyebabkan banjir puing, malah kuantiti itu boleh dianggap tidak bermakna untuk menyebabkan banjir," katanya.

Mohd Sobri berkata, kenyataan berbeza itu mengelirukan orang ramai, terutama penduduk Baling yang terkesan akibat banjir puing sebelum ini, justeru RCI wajar dijalankan bagi memberi penjelasan yang lebih baik.

Dalam kejadian banjir puing 4 Julai lalu, kira-kira 800 penduduk sekitar Kupang terjejas, selain turut mengorbankan tiga nyawa, termasuk wanita hamil empat bulan dan mengakibatkan 17 rumah ranap sepenuhnya serta ratusan kediaman rosak teruk.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tragedi banjir yang berlaku seperti itu bukan pertama kali di negara ini.

"Sebagai contoh di Keningau, Sabah sebelum ini, pernah berlaku yang menyebabkan ratusan kematian," katanya.

Keadaan di Kampung Iboi, Baling selepas dilanda banjir puing, 4 Julai lalu. - Foto fail NSTP
Keadaan di Kampung Iboi, Baling selepas dilanda banjir puing, 4 Julai lalu. - Foto fail NSTP
Berita Harian X