Isnin, 8 Ogos 2022 | 6:29pm
Sebahagian besar kawasan Tasik Chini terjejas akibat perlombongan mineral. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Sebahagian besar kawasan Tasik Chini terjejas akibat perlombongan mineral. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

Pindaan mantapkan penguatkuasaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini boleh mengawal proses pewartaan keluar dan penggantian hutan simpanan kekal, susulan rang undang-undang (RUU) Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 diluluskan di Dewan Negara, hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pindaan akta itu juga memantapkan penguatkuasaan hutan, bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran.

Selain itu, katanya, RUU bagi meminda Akta Perhutanan Negara 1984 itu juga meningkatkan kadar denda, hukuman dan penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar.

Beliau berkata, RUU itu juga dapat mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas, serta menambah baik jadual dalam akta itu memantapkan pengurusan dan penguatkuasaan perhutanan.

"Saya berharap semua kerajaan negeri dapat terus memberikan sokongan kepada RUU ini dengan menerima pakai keseluruhan RUU sebagai Enakmen Perhutanan (Pemakaian) di negeri masing-masing.

"Ini sekali gus mencerminkan kesungguhan kita sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab dalam memelihara dan melindungi hutan.

"Tindakan segera dan proaktif yang diambil kerajaan negeri akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap pengurusan hutan secara berkekalan di negara ini," katanya hari ini.

Pada 18 Julai lalu, RUU itu diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat selepas dibahaskan oleh 13 Ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Takiyuddin memaklumkan usaha untuk menambah baik akta itu dimulakan sejak 13 tahun lalu pada 2009, dan pindaan akta itu kali ini yang kedua selepas pindaan kali pertama pada 1993.

Secara prinsip, katanya, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak menggalakkan pengeluaran atau penyahwartaan mana-mana kawasan tanah daripada hutan simpan kekal.

Beliau berkata, pendirian tegas itu bagi memastikan kelangsungan fungsi hutan simpan kekal dalam menjamin kestabilan alam sekitar, membekalkan sumber makanan, jaminan bekalan air bersih, bekalan oksigen serta menyimpan stok karbon yang penting dalam mengimbangi perubahan iklim dunia.

Namun, katanya, jika sesuatu kawasan tanah perlu juga dikeluarkan daripada hutan simpan kekal bagi kegunaan ekonomi yang lebih tinggi, pihak berkuasa negeri hendaklah menjalankan penyiasatan awam mengikut kaedah ditetapkan.

"KeTSA melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) Penyiasatan Awam Bagi Pengeluaran Kawasan Tanah Daripada Hutan Simpan Kekal di Semenanjung Malaysia.

"SOP yang dibangunkan akan dibentangkan untuk kelulusan Majlis Tanah Negara yang akan datang, dan penyiasatan awam yang dilaksanakan kelak diharap akan memberikan imej positif kepada kerajaan negeri, khususnya dan kepada negara amnya, iaitu pewartaan keluar kawasan tanah hutan simpan kekal yang dibuat adalah pilihan terakhir setelah penilaian wajar dilaksanakan kerajaan negeri," katanya.

Perubahan tananam semula jadi di Gunung Inas mengakibatkan banjir puing di Baling. - Foto Facebook Ibrahim Komoo
Perubahan tananam semula jadi di Gunung Inas mengakibatkan banjir puing di Baling. - Foto Facebook Ibrahim Komoo

Berita Harian X