Isnin, 8 Ogos 2022 | 5:58pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Kerajaan jelajah seluruh negeri untuk mantapkan Bajet 2023

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan komited untuk memantapkan proses penyediaan Belanjawan 2023 melalui pembabitan dan sumbangan ahli Keluarga Malaysia, bagi memastikan bajet yang dibentangkan di Parlimen adalah jelmaan denyut nadi rakyat untuk manfaat semua rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata Kementerian Kewangan (MOF) sudah memulakan program jelajah negeri Belanjawan 2023 di Johor dalam usaha mendapatkan pandangan dan cadangan di peringkat akar umbi, terutamanya rakyat, industri setempat dan kerajaan negeri.

Katanya, Johor adalah negeri pertama dikunjungi MOF dalam program jelajah itu.

"Semasa pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Kerajaan Persekutuan menzahirkan komitmen untuk memacu pembangunan di negeri Johor dan meningkatkan usaha menarik pelaburan ke negeri Johor dalam sektor utamanya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara tumpuan Kerajaan Persekutuan di Johor ialah mempertingkatkan infrastruktur pengangkutan melalui projek seperti landasan kereta api Gemas–Johor Bahru, yang bakal siap serta projek baharu seperti Sistem Transit Rapid (RTS) ke Singapura.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan terus memajukan mekanisme untuk memperbanyakkan penyediaan perumahan yang berkualiti dan mampu didiami rakyat biasa seperti Rumah Iskandar Malaysia, yang dimajukan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar.

"Lawatan ke Folo Farms di Ulu Tiram, satu inisiatif komuniti setempat menghasilkan sayur organik, iaitu baja kompos dihasilkan daripada sisa makanan dari hotel dan restoran di bandar Johor Bahru, menunjukkan Malaysia juga mempunyai potensi tinggi untuk meningkatkan penghasilan makanan di kawasan bandar yang menerapkan prinsip kelestarian," katanya.

Beliau berkata, berkata Kementerian Kewangan akan menjelajah ke semua negeri untuk memahami cabaran yang dihadapi dan mengumpulkan cadangan daripada segenap lapisan masyarakat mengenai langkah untuk Belanjawan 2023.

Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, pengurusan subsidi yang lebih mampan, usaha pembaharuan ekonomi, selain memperkukuhkan daya tahan negara terhadap sebarang kejutan pada masa depan menjadi tumpuan melalui pembentangan Bajet 2023.

Beliau dilaporkan berkata, inisiaitf berkaitan kemampanan turut diambil kira dalam Bajet 2023 susulan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim serius.

"Seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pasca COVID-19, Bajet 2023 akan terus menumpukan kepada agenda kesejahteraan rakyat terutamanya dalam aspek pendapatan dan perlindungan sosial.

"Usaha pembaharuan ekonomi juga akan diutamakan bagi memastikan pertumbuhan yang mampan serta meningkatkan daya saing perniagaan dan rantaian nilai," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X