Sabtu, 6 Ogos 2022 | 10:06am
Banjir berhampiran Seksyen 25 Sri Muda Shah Alam, 19 Disember 2021. - NSTP/Asyraf Hamzah
Banjir berhampiran Seksyen 25 Sri Muda Shah Alam, 19 Disember 2021. - NSTP/Asyraf Hamzah

Selangor kenal pasti 311 lokasi berisiko banjir

KLANG: Sebanyak 311 lokasi berisiko banjir dikenal pasti di Selangor berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.

Ia membabitkan 65 kawasan di Klang, Hulu Langat (61), Petaling (45), Kuala Selangor (38), Sepang (37), Kuala Langat (25), Gombak (24), Sabak Bernam (sembilan) dan Hulu Selangor (tujuh).

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mulliadi Al-Hamdi Ladin, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor mengenal pasti lokasi itu melalui hasil pemantauan, kajian lapangan dan penelitian.

Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor berkata, APM dan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor dalam keadaan siap siaga memantau lokasi terbabit di sembilan daerah di negeri ini.

"Semua agensi dan jabatan di bawah jawatankuasa dalam kesiapsiagaan dan mempersiapkan 658 keanggotaan bagi menangani sebarang kemungkinan bencana.

"Aset penyelamatan APM di setiap daerah meliputi 44 bot pelbagai jenis, 11 ambulans, 13 kenderaan utiliti dan 10 trak atau jentera penyelamat.

"Untuk itu, UPBN dan APM bergandingan dalam pemantauan harian dan bersiap siaga menghadapi banjir ekoran ketidaktentuan cuaca di negeri ini," katanya kepada BH.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri merangkap Pengarah APM Selangor, Mulliadi Al-Hamdi Ladin menunjukkan beg kecemasan bencana (Ready 2Go Bag) ketika ditemui, baru-baru ini. - Foto NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Pada masa sama katanya, APM juga membuat ketetapan menerusi pengaturan anggota menjalankan pemantauan jika hujan lebat berterusan dalam tempoh lebih dua jam di kawasan berisiko.

"Langkah ini sebagai persediaan awal sekiranya berlaku bencana luar jangka seperti di Taman Sri Muda, Shah Alam pada tahun lalu.

"Inisiatif dijalankan selama 24 jam tanpa mengira masa dan waktu sama ada siang atau malam," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di lokasi berisiko menyediakan secara kendiri beg kecemasan bencana atau 'Ready 2Go Bag' sebagai persediaan menghadapi situasi bencana atau kecemasan termasuk banjir.

Menurutnya, beg khas itu berfungsi menyimpan barangan seperti dokumen penting, wang tunai, wisel, lampu suluh, kit kecemasan, minuman dan makanan sedia dimakan bagi keperluan keluarga.

"Ia antara inisiatif terbaik pengurangan risiko bencana (DRR) yang disarankan kerajaan seperti penekanan global melalui Kerangka Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana (SFDRR) 2015-2030.

"Penduduk perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa, terutamanya ramalan cuaca setempat dan mematuhi arahan pihak berkuasa sama ada media sosial atau media arus perdana," katanya.

Keadaan di Taman Sri Muda pada 25 Disember lalu. - Foto BERNAMA
Keadaan di Taman Sri Muda pada 25 Disember lalu. - Foto BERNAMA

Penduduk keluar menaiki sampan buatan sendiri untuk mengambil bantuan makanan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, 29 Disember 2021. - NSTP/Aswadi Alias
Penduduk keluar menaiki sampan buatan sendiri untuk mengambil bantuan makanan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, 29 Disember 2021. - NSTP/Aswadi Alias

Penduduk di Pangsapuri Andorra, Taman Sri Muda, Shah Alam membersihkan kenderaan masing-masing selepas banjir surut, 29 Disember 2021. - NSTP/Faiz Anuar
Penduduk di Pangsapuri Andorra, Taman Sri Muda, Shah Alam membersihkan kenderaan masing-masing selepas banjir surut, 29 Disember 2021. - NSTP/Faiz Anuar

Berita Harian X