Sabtu, 6 Ogos 2022 | 9:47am
Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar selepas sidang media di Putrajaya selepas mengumumkan penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) Khamis lalu. - Foto fail NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar selepas sidang media di Putrajaya selepas mengumumkan penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) Khamis lalu. - Foto fail NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kenapa tiba-tiba menggelupur dengan GTA, soal peguam PEJUANG

KUALA LUMPUR: Penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) yang berpaksikan kaum bukan bersifat perkauman, sebaliknya ia gabungan parti yang mengangkat prinsip inklusif demi menyelamatkan negara daripada anasir politik mementingkan diri sendiri serta merugikan negara.

Peguam Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata penubuhan GTA cukup jelas motifnya iaitu satu gerakan massa yang memberi tumpuan kepada tiga perkara.

Gerakan itu menggariskan agenda mengangkat dan membela nasib orang Melayu, menyelamatkan negara dari politik mementingkan diri sendiri serta menubuhkan kerajaan bebas rasuah.

"Buat masa ini, GTA terbuka kepada semua orang Melayu yang dahagakan perubahan untuk sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.

"Tiada langsung sebarang syarat yang dikenakan oleh pengerusi mahupun pendukung GTA untuk menyertai GTA ini. Ianya terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahukan Melayu berprinsip dan berkelayakan.

"Harus ditekankan juga GTA ini adalah satu gerakan rakyat. Ianya tidak rasis. Mengapakah setiap kali sesuatu pertubuhan, persatuan atau parti berteras Melayu dimulakan ianya dilabelkan rasis? Mengapakah apabila bangsa atau kaum lain menubuhkan parti ianya dilabel 'hak perlembagaan'?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat perlu sedar bahawa sesiapa pun yang mentadbir negara ini mesti menjalankan tanggungjawab seiring dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun parti berpaksi kaum, beliau berkata kedaulatan udang-undang akan memastikan hal bangsa, kaum dan agama segenap rakyat terbela serta terjaga.

"Bukan hanya orang Melayu tetapi kaum-kaum lain juga. GTA berpegang pada naratif tersebut. GTA ingin memperjuangkan prinsip-prinsip integriti, amanah dan melawan rasuah.

"Seperkara yang harus diingati juga adalah GTA ini bersifat inklusif. Lihat sahaja pada senarai anggota jawatankuasanya. Parti-parti politik, pemimpin-pemimpin masyarakat, anggota-anggota profesional, golongan cerdik pandai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang berpengaruh.

"Segala lapisan disantuni kerana harus diingat, Melayu bukan milik orang politik sahaja," katanya.

Beliau berkata, GTA sebagai gabungan politik Melayu turut menyasarkan kawasan majoriti Melayu.

Jelasnya, GTA juga ingin menyatukan kekuatan orang Melayu dalam sosioekonomi dan pendidikan, sekali gus dapat mengembalikan negara menjadi Harimau Asia

"Justeru, mengapakah GTA ditakuti oleh pembangkang? Atau adakah pembangkang tiba-tiba sedar bahawa GTA sahaja mampu membawa perubahan menyeluruh, sesuatu yang tidak mungkin mampu dilakukan oleh pembangkang," katanya.

Berita Harian X