Jumaat, 5 Ogos 2022 | 4:36pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Penganggur tak mengaku salah miliki dadah dalam lokap

KUALA PILAH: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki dadah ketika berada dalam tahanan lokap Mahkamah Rembau, bulan lalu.

Muhammad Ikraam C Mansor, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad C Ikraam, yang berasal dari Rembau didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 54.47 gram (g) ketika berada di lokap Mahkamah Rembau dekat sini, kira-kira pukul 11 pagi, 26 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis heroin dengan berat 3.97 g di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun, serta sebat tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 27 September ini. - - BERNAMA

Berita Harian X